DUNGUN, 30 MAC 2015 – Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Dungun bersama Seketeriat Rakan Muda Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Dungun telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) bagi peserta pingat perak daerah Dungun : Masih Ada Yang Sayang di Rumah Seri Kenangan Cheras Kajang Selangor pada 28 Mac lalu.

Program yang disertai seramai 40 peserta Perak ARPRM Dungun ini turut mendapat kerjasama erat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Dungun. Objektif program untuk melahirkan rasa keinsafan serta muhasabah diri dengan anugerah Allah selain penerapan nilai – nilai murni dan kasih sayang kepada orang tua.

Diantara aktiviti yang dilaksanakan adalah memberi perkhidmatan gunting rambut, cuci rambut, memotong kuku dan urutan kepada warga Rumah Seri Kenangan Cheras Kajang Selangor. Selain itu, para peserta turut berinteraksi bersama warga Rumah Seri Kenangan Cheras Kajang Selangor tentang pengalaman hidup, tips-tips kesihatan dan sebagainya.

Rumah Seri Kenangan Cheras ini dipilih kerana ianya merupakan penempatan bagi warga emas yang sakit melarat dan tidak mempunyai saudara mara lagi untuk menjaga mereka. Rumah ini turut memberi penjagaan, rawatan dan perlindungan kepada orang-orang sakit dan uzur dalam suasana yang selesa dan tenteram. Rumah yang memberi perlindungan kepada seramai 187 warga emas berada dibawah pentadbiran Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.

Oleh : Unit Jawatankuasa Portal Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Terengganu

Disunting : Razali Haji Mohamed Yassin ( Unit Komunikasi Korporat KBS)
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Go to top