|
Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi telah membentuk generasi baru yang mempunyai profil psikografi dan ciri-ciri perwatakan yang berbeza. Generasi ini dikenali dengan istilah Generasi-X, Y dan Z mengikut tahun kelahiran dan pengaruh budaya digital dalam kehidupan mereka. Generasi-Y adalah golongan yang lebih kompleks dan mempunyai identiti tersendiri dengan ciri-ciri seperti Tech-savvy, Family-centric, Achievement-oriented, Team-oriented dan Attention-craving.
Mengambil kira perubahan dan perkembangan dalam pembangunan belia, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) Siri 1 Bil.1/2010 yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri pada 3 Ogos 2010 telah bersetuju dengan perkara-perkara berikut:-
(i) supaya penubuhan sebuah makmal khas iaitu Makmal Transformasi Pembangunan Belia diadakan dalam usaha untuk memahami kehendak dan keperluan Generasi-Y;
(ii) supaya Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU) membantu dalam pelaksanaan makmal ini; dan
(iii) satu roadmap atau Pelan Strategik Utama perlu dibuat secara kolektif dalam menangani generasi baru.
Berikutan itu, semasa membincangkan keputusan Mesyuarat JKPB Siri 1 Bilangan 1/2010, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Ogos 2010 telah bersetuju dengan keputusan-keputusan Mesyuarat JKPB tersebut.
IMPAK PELAKSANAAN MAKMAL TRANSFORMASI PEMBANGUNAN BELIA
Pelaksanaan inisiatif-inisiatif Makmal Transformasi Pembangunan Belia akan menarik penglibatan serta akses seramai 11.9 juta belia pada tahun 2011 dan dijangka akan meningkat pada setiap tahun. |