WASPADA INFO DALAMAN

WASPADA INFO DALAMAN
KUALA LUMPUR, 16 MAC 2017 - Pembabitan bekas pemain dan jurulatih skuasy negara, Allan Soyza, yang kini menggalas jawatan selaku Pengarah Kejurulatihan pasukan Singapura, perlu diberikan perhatian serius menjelang temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur Ogos nanti.

Jurulatih kebangsaan, Ong Beng Hee, tidak menafikan Allan yang memiliki pengalaman lebih dua dekad bersama pasukan kebangsaan atas pelbagai kapasiti, mengetahui kekuatan dan kelemahan Malaysia.

“Sebagai orang lama yang pernah bersama dalam skuad kebangsaan, sudah pasti Allan mengetahui serba sedikit perkembangan semasa pemain skuad kebangsaan. “Kami perlu berwaspada, baik dari segi perancangan mahupun latihan kerana sebagai bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, dia memiliki pengalaman serta pengetahuan yang bakal dimanfaatkan bersama pasukan Singapura.

“Tetapi semua ini akan dijadikan sebagai cabaran buat saya dan barisan pemain untuk menampilkan aksi bertenaga dan memburu tujuh emas yang menjadi sasaran skuasy di Sukan SEA,” jelasnya pada sidang media di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Mengenai tekanan yang bakal dihadapinya selaku jurulatih dan anak didiknya dengan sasaran tujuh emas perlu diraih, Beng Hee percaya ia mampu direalisasikan berdasarkan perkembangan semasa.

“Melihat kepada corak latihan dan keyakinan serta penyertaan pemain dalam beberapa siri perlawanan peringkat antarabangsa, saya yakin tujuh emas mampu diraih di Kuala Lumpur nanti.

“Tiada kecederaan dialami pemain malah keyakinan mereka juga kini semakin meningkat dan bersedia menghadapi temasya Sukan Sea nanti,” katanya.

Bagi Pengurus Pasukan Skuasy Sukan Sea 2017, Nik Razeen A Daud pula, beberapa perlawanan di luar negara bakal disertai pemain untuk memberikan pendedahan dan pengalaman.

“Kami telah merancang penyertaan pemain untuk beraksi dengan pemain-pemain lebih professional, melalui cara ini mereka akan mengetahui cabaran sebenar untuk menimba ilmu pengetahuan serta dijadikan pembakar semangat untuk terus mempamerkan aksi terbaik,” katanya.

Bagi atlet skuasy lelaki negara, Mohammad Syafiq Mohd Kamal, penyertaan dalam saingan luar negara banyak memberi pengalaman serta pendedahan buat dirinya.

“Saya banyak belajar dan menimba pengalaman apabila menyertai perlawanan peringkat antarabangsa, semua ini amat berguna menjelang Sukan SEA nanti. “Harapan saya pastinya emas dalam genggaman kerana ia begitu berharga untuk menggapainya di laman sendiri,” jelasnya yang mengutip emas acara berpasukan lelaki dua tahun lalu di Singapura.

Nada gemuruh pula disuarakan Andrea Lea Jia Qi, yang beraksi kali pertama dan mengharapkan sokongan rakan sepasukan serta peminat tempatan. “Saya agak gemuruh untuk aksi kali pertama ini, beraksi di laman sendiri namun ia akan diatasi dari semasa ke semasa dengan bantuan jurulatih serta sepasukan. “Pasti seronok bila perasaan gemuruh ini hilang tapi lebih bermakna andai sasaran emas mampu direalisasikan,” jelasnya.

Disediakan oleh : Adila Mohamad, Majlis Sukan Negara
adila@nsc.gov.my

Disunting oleh : Lizza Imelia M. Sulanah, Unit Komunikasi Korporat
 


FIT MALAYSIA

 
Asas dalam mencapai apa saja yang kita inginkan adalah tubuh badan yang sihat. FitMalaysia membantu anda ke arah ini.

SUKAN SEA 2017 KE-29
SUKAN PARA ASEAN KE-9

Jumpa anda di Sukan Kuala Lumpur 2017
19 - 30 Ogos 2017 | Sukan Sea 2017
17 - 23 September 2017 | Sukan Para Asean

Hari Sukan Negara

 
Jumpa anda di Hari Sukan Negara 2017
14 Oktober 2017.
BCMath lib not installed. RSA encryption unavailable