KUARTET 4x100m IDAM EMAS

KUARTET 4x100m IDAM EMAS
KUALA LUMPUR, 20 JULAI 2017 - Dengan tumpuan berpusat kepada kepantasan Khairul Hafiz Jantan membakar trek, kuartet 4×00 meter negara memasang impian mengutip emas lari berganti-ganti itu di Sukan SEA ke-29 Ogos ini.

Khairul Hafiz yang masih segar dengan kejayaan meleburkan rekod 49 tahun milik Tan Sri Dr. M. Jegathesan menerusi kepantasan 20.90 saat pada final 200m di Terbuka Malaysia pada Selasa, harus dibantu Jonathan Nyepa, Nixson Kenedy dan Badrul Hisyam Abdul Manap dalam usaha mengulangi pencapaian kuartet 1969 di Rangoon.

Melengkapkan senarai enam atlet untuk kuartet 4x100m ialah Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad ‘Aqil Yasmin. Dua tahun lalu di Singapura, Jonathan, Mohd Izzuddin Yahya, Harith Ammar Sobri menduduki tangga keempat tetapi berbangga dengan rekod kebangsaan 39.67 saat dalam lari berganti-ganti itu.

Rangkaian kuartet negara mengutip perak kali terakhir Sukan SEA diadakan di Kuala Lumpur pada 2001 apabila gandingan Watson Nyambek, Nazmizan Muhamad, Azmi Ibrahim dan R. Ganeshwaran mencatat 39.83 saat. Catatan itu memadam rekod lama 40.06s yang dicatat Watson, Hamberi Mahat, Ganeshwaran dan Tan Kok Lim di Kejohanan Asia di Fukuoka, Jepun pada 1998.

Empat serangkai emas di Rangoon 48 tahun lalu dianggotai Zainuddin Wahab, R. Krishnan, G. Rajalingam dan Abdul Wahid Annuar yang mencatat 41.1 saat bagi menewaskan kuartet Thailand. Pengurus pasukan, Datuk Salim Parlan, berkata senarai muktamad untuk acara itu akan ditentukan oleh jurulatih, Balamurugan Maniam dan Mohd Poad Md Kasim.

“Dalam acara ini, apa sahaja boleh berlaku. Kami mempunyai rangkaian pelari yang berpengalaman dan pantas yang boleh melakukan kejutan terhadap Thailand,” kata Salim. Balamurugan dan Mohd Poad akan mengambil kira kekuatan pelari di selekoh atau jarak lurus sebelum menamakan empat serangkai negara.

“Kami boleh mendaftar empat pelari sehari sebelum perlumbaan,” kata Balamurugan yang menegaskan enam pelumba tersenarai mempunyai peluang yang sama terpilih. Dalam pada itu, Salim menyatakan skuad olahraga akan melapor diri ke kem latihan pusat di Institut Penilaian Negara (Inspen), Bangi, minggu depan.

“Kami mahu semua atlet negara memberi tumpuan tanpa sebarang gangguan bermula 23 Julai hingga 4 Ogos ini. Kami juga akan menyusun pertemuan dengan media mengikut waktu-waktu tertentu,” katanya.

“Kem ini bertujuan membolehkan kontinjen olahraga memusatkan tumpuan, mendisiplinkan diri dalam kem dan . Kem ini juga akan diketuai seorang komandan kem,” kata Salim. Skuad 4x100m lari berganti-ganti lelaki: Jonathan Nyepa, Nixson Kennedy, Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad ‘Aqil Yasmin

Disediakan oleh : Adila Mohammad (Majlis Sukan Negara)
Disunting oleh : Unit Komunikasi Korporat KBS

FIT MALAYSIA

 
Asas dalam mencapai apa saja yang kita inginkan adalah tubuh badan yang sihat. FitMalaysia membantu anda ke arah ini.

SUKAN SEA 2017 KE-29
SUKAN PARA ASEAN KE-9

Jumpa anda di Sukan Kuala Lumpur 2017
19 - 30 Ogos 2017 | Sukan Sea 2017
17 - 23 September 2017 | Sukan Para Asean

Hari Sukan Negara

 
Jumpa anda di Hari Sukan Negara 2017
14 Oktober 2017.
BCMath lib not installed. RSA encryption unavailable