MENUJU LANGIT

MENUJU LANGIT
KUALA LUMPUR, 2 OGOS 2017 - Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamshuddin, atlet pertama dari Asia Tenggara melontar melepasi jarak 60 meter, kini berada di aras berbeza berbanding atlet serantau.

Menjelang saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 nanti, pingat emas bukan isu lagi tetapi apa yang dicari ialah siapa ‘pengapitnya’ di podium untuk perak dan gangsa. Selepas latihan dan bertanding hampir tiga bulan di Eropah, Irfan tampil lebih tegap, berkeyakinan tinggi dan kuat mentalnya dalam memburu pingat emas ketiga berturut-turut di Sukan SEA.

“Saya kini lebih berkeyakinan untuk berdepan dengan sebarang pertandingan,” kata Irfan, bakal berusia 22 tahun 16 Ogos nanti, pada sidang akhbar di Majlis Sukan Negara, siang tadi.

Kelihatan sasa dan jauh lebih ‘berusia’ berbanding umur sebenar, Irfan memecah rekod kebangsaan ciptaan sendiri tiga kali dalam tempoh lima hari di Eropah Mei lalu.

Dalam Kejohanan Olahraga Asia di India awal bulan lalu, Irfan mencatat jarak balingan 60.96m untuk mengutip pingat perak, manakala juara Sukan Asia tiga kali, Ehsan Hadadi, merangkul gelaran keenamnya dalam kejohanan dengan balingan 64.54m. Irfan yang mencatat tiga rekod kebangsaan berturut-turut Mei lalu dalam kembaranya di Eropah dengan catatan 61.10m di Halle, Jerman, 61.56m di Turnov, Republik Czech dan 62.55 di Linz, Austria, harus memasang impian lebih tinggi.

“Walaupun keyakinan saya tinggi, saya juga harus waspada. Lempar cakera tidak sama dengan acara lari pecut. Kadang-kadang kita boleh dikecewakan dengan lima lemparan awal tetapi bangkit dengan balingan emas pada percubaan terakhir.”

Sejak Jun 2013, Irfan mencatat rekod kebangsaan 13 kali. Ramai berpendapat, dia sengaja melakukan ‘sikit-sikit’ supaya namanya sentiasa ‘panas’. Sambil ketawa kecil menampakkan gigi tersusun cantik, Irfan berkata: “Tidak mungkin begitu. Apa yang saya lakukan ialah untuk meningkatkan keyakinan. Saya tidak tahu berapa jauh lagi saya boleh baling tapi latihan bersistematik, saya yakin dapat melakukan lebih baik.” Dilatih oleh Frantisek Petrovic yang digelar Fero, Irfan harus melontarkan namanya tinggi melangit satu hari nanti.

Disediakan oleh : Adila Mohammad (Majlis Sukan Negara)
Disunting oleh : Unit Komunikasi Korporat KBS

FIT MALAYSIA

 
Asas dalam mencapai apa saja yang kita inginkan adalah tubuh badan yang sihat. FitMalaysia membantu anda ke arah ini.

SUKAN SEA 2017 KE-29
SUKAN PARA ASEAN KE-9

Jumpa anda di Sukan Kuala Lumpur 2017
19 - 30 Ogos 2017 | Sukan Sea 2017
17 - 23 September 2017 | Sukan Para Asean

Hari Sukan Negara

 
Jumpa anda di Hari Sukan Negara 2017
14 Oktober 2017.
BCMath lib not installed. RSA encryption unavailable