SELEKOH TERAKHIR UNTUK KONTINJEN NEGARA

SELEKOH TERAKHIR UNTUK KONTINJEN NEGARA
KUALA LUMPUR, 3 OGOS 2017 - Seramai 700 atlet bakal melaporkan diri di perkampungan sukan dalam perhimpunan akhir atlet dari 4 hingga 10 Ogos ini, sebelum tirai Sukan SEA ke-29 disingkap secara rasmi pada 19 Ogos nanti.

Hotel Rennaissance Kuala Lumpur bakal menghimpun jumlah keseluruhan 1,039 individu, termasuk 162 jurulatih, pengurus pasukan dan anggota urusetia kontinjen dalam persediaan terakhir menjelang upacara pembukaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kelompok atlet dibahagikan kepada enam cawangan mengikut bidang sukan, iaitu tempur, raket, kekuatan dan kuasa, berpasukan, air dan kemahiran. Sukan tempur ialah taekwondo, karate, silat, wushu, tinju, lawan pedang, muay dan judo.

Raket merangkumi tenis, skuasy, badminton dan ping pong manakala sukan air adalah terjun, renang, renang irama, polo air, ski air, renang laut terbuka dan pelayaran. Memanah, gimnastik artistik, gimnastik berirama, snuker dan billiard, menembak, boling tenpin, boling padang, petanque, golf, ekuestrian dan polo membentuk sukan kemahiran manakala berpasukan adalah hoki, sepak takraw, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, futsal, bola tampar, kriket, hoki ais dan ragbi.

Sukan membabitkan kekuatan dan kuasa ialah lumba basikal, angkat berat, olahraga, luncur ais dan triathlon. Beberapa sukan dikecualikan daripada menyertai perhimpunan ini disebabkan pelbagai faktor.

Skuad ekuestrian sedang menghadapi kejohanan di Belgium, manakala pasukan polo menjalani latihan di Pekan. Skuad muay menjalani latihan di Bangkok manakala pakar terjun berlatih di China hingga 18 Ogos. Skuad bola sepak lelaki pula dijadual menghadiri majlis penyerahan bendera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Ogos nanti.

Dalam perhimpunan tujuh hari ini, atlet negara dijadual menjalani sesi bina semangat dan setiakawan, selain mendengar taklimat Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin, Ketua Kontinjen, Datuk Marina Chin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Kem ditutup dengan majlis penyerahan bendera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Ogos. Kontinjen negara akan diwakili oleh 871 atlet yang bertanding dalam 397 acara daripada 404 yang dipertandingkan secara keseluruhan.

Seramai 392 pegawai terdiri daripada pengurus pasukan, penolong pengurus dan jurulatih turut membentuk kontinjen negara. Sebelum upacara pembukaan secara rasmi pada Sabtu 19 Ogos, acara bola sepak lelaki akan bermula pada 14 Ogos nanti dengan Malaysia dijadual menentang Brunei.

Disediakan oleh : Adila Mohamad (Majlis Sukan Negara)
Disunting oleh : Unit Komunikasi Korporat KBS

FIT MALAYSIA

 
Asas dalam mencapai apa saja yang kita inginkan adalah tubuh badan yang sihat. FitMalaysia membantu anda ke arah ini.

SUKAN SEA 2017 KE-29
SUKAN PARA ASEAN KE-9

Jumpa anda di Sukan Kuala Lumpur 2017
19 - 30 Ogos 2017 | Sukan Sea 2017
17 - 23 September 2017 | Sukan Para Asean

Hari Sukan Negara

 
Jumpa anda di Hari Sukan Negara 2017
14 Oktober 2017.
BCMath lib not installed. RSA encryption unavailable