ISN-YAKEB JALIN KERJASAMA TAWAR BEKAS ATLET KURSUS JURULATIH PROFESIONAL

ISN-YAKEB JALIN KERJASAMA TAWAR BEKAS ATLET KURSUS JURULATIH PROFESIONAL
BUKIT JALIL, 2 NOVEMBER 2017: Buat julung kalinya Institut Sukan Negara(ISN) menjalankan kerjasama bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan(YAKEB) bagi menggalakkan bekas-bekas atlet memilih kerjaya sebagai jurulatih professional dengan mendapatkan lesen C bagi peringkat permulaan.

Dengan itu, bekas-bekas atlet diberi peluang menyertai Program Insiatif Pendidikan Berterusan dengan menyertai Kursus Sains Sukan Tahap 1 yang merupakan antara komponen dalam Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan(SLKK) bermula hari ini sehingga 5 November 2017.

Majlis perasmian siang tadi disempurnakan Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor merangkap Penaung YAKEB dalam majlis yang berlangsung di Dewan Perdana, ISN Bukti Jalil.

Menurut Datin Seri Paduka Rosmah Mansor, beliau amat bangga penyertaan Kursus Sains Sukan Tahap 1 ini mendapat sambutan luar biasa iaitu mencapai penyertaan bekas-bekas atlet lebih 100 orang.

“Ini merupakan petanda yang baik kepada YAKEB sekaligus membuktikan bekas-bekas atlet mempunyai minat mendalam untuk menjadi jurulatih bertauliah,” kata Datin Seri Paduka Rosmah.

“Melalui kursus ini, saya yakin kita dapat melahirkan lebih ramai barisan kejurulatihan yang berpengetahuan tinggi dalam bidang kejurulatihan sains sukan. Saya menyeru semua ahli-ahli YAKEB dan bekas atlet agar mengambil peluang ini untuk meningkatkan ilmu dalam bidang sains sukan,” tambah Datin Seri Paduka Rosmah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi, kerjasama ini adalah satu kolaborasi yang baik antara ISN dan YAKEB dalam usaha mengiktiraf bekas-bekas atlet untuk menjadi jurulatih dalam sukan yang mereka ceburi.

“Sekiranya bekas-bekas atlet ini dibimbing dengan pengetahuan dan pendidikan berterusan secara profesional, mereka mampu menjadi jurulatih yang berkaliber kerana dalam memupuk sesuatu sukan itu, mereka sendiri telah melalui pengalaman di peringkat tertinggi dimana pengalaman ini tidak boleh diperolehi oleh individu yang tidak menceburi sukan,” kata Dr. Khairi.

“Kita ingin membuka peluang kepada bekas-bekas atlet peluang kerjaya selepas bersara yang bersesuaian dengan minat mereka. Menerusi program ini kita sediakan platform bersama YAKEB untuk mereka ketahui peluang-peluang pendidikan menjadi jurulatih yang berpengetahuan dalam sains sukan,” tambah Dr. Khairi.

ISN turut menaja ahli-ahli YAKEB dan bekas atlet yang mengambil kursus kali ini dimana ISN menanggung kos yuran penyertaan dan lokasi kursus. Peserta akan didedahkan dengan beberapa sesi pembelajaran antaranya berkenaan Falsafah Sukan, Anatomi dan Fisiologi Sukan, Pemakanan Sukan, Perubatan Sukan, Biomekanik, Suaian Fizikal dan Psikologi sepanjang 4 hari program ini berlangsung.

Turut hadir dalam majlis hari ini Menteri Belia dan Sukan Brig Jen Khairy Jamaluddin, Pengerusi ISN Dato Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dato’ Lokman Hakim Ali dan Pemangku Pengerusi YAKEB, Mohd Azlan Iskandar. Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran legenda-legenda sukan negara antaranya Dato M. Rajamani, Dato’ Santokh Singh dan Khalid Ali.

Disediakan oleh : Nur Zatil Hidayah Dzulkifli (Institut Sukan Negara)
Disunting oleh : Unit Komunikasi Korporat KBS

FIT MALAYSIA

 
Asas dalam mencapai apa saja yang kita inginkan adalah tubuh badan yang sihat. FitMalaysia membantu anda ke arah ini.

SUKAN SEA 2017 KE-29
SUKAN PARA ASEAN KE-9

Jumpa anda di Sukan Kuala Lumpur 2017
19 - 30 Ogos 2017 | Sukan Sea 2017
17 - 23 September 2017 | Sukan Para Asean

Hari Sukan Negara

 
Sertai kami di Hari Sukan Negara 2018
Jom Turun Padang! #hsn18 
BCMath lib not installed. RSA encryption unavailable