Unit Integriti

PENUBUHAN UNIT INTEGRITI KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN | CARTA ORGANISASI

Selaras dengan arahan penubuhan Unit Integriti di setiap Jabatan dan Kementerian melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil 6 tahun 2013, Unit Integriti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah ditubuhkan dan beroperasi secara rasminya pada 20 November 2013. 

Unit Integriti KBS berperanan sebagai Focal Point kepada pihak Kementerian dalam usaha untuk memperkukuhkan integriti pegawai dan kakitangan KBS serta menangani isu-isu berkaitan Integriti di Kementerian. Penubuhan Unit Integriti ini juga merupakan usaha kawalan dalaman oleh Kementerian untuk menguruskan integriti dalaman.

Unit ini melaksanakan enam (6) fungsi teras iaitu Tadbir Urus, Pengukuhan Integriti, Pengesanan dan Pengesahan, Pengurusan Aduan, Pematuhan dan Tatatertib. Enam (6) teras seperti yang dinyatakan berfungsi seperti berikut:

     i.  Tadbir urus;
         Memastikan tadbir urus yang terbaik dilaksanakan

     ii.  Pengukuhan Integriti;
          Memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integriti dalam organisasi

    iii.  Pengesanan dan pengesahan;
          a. Mengesan dan mengesahkan aduan salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi serta memastikan tindakan susulan yang sewajarnya diambil; dan
          b. Melaporkan salahlaku jenayah kepada agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab;

    iv.  Pengurusan Aduan;
          Menerima dan mengambil tindakan ke atas semua aduan/maklumat mengenai salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi

     v.  Pematuhan;
          Memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa; dan

     vi. Tatatertib;
          Melaksanakan fungsi urus setia Lembaga Tatatertib

Selain daripada itu, unit ini juga menerima, memproses dan menyiasat semua aduan berkaitan dengan Integriti seperti kesalahan jenayah rasuah dengan berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) (Akta 694), iaitu empat kesalahan rasuah yang utama:

     i.  Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) ASPRM 2009]
    ii.  Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) ASPRM 2009]
   iii.  Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 ASPRM 2009] 
   iv.  Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 ASPRM 2009].

Sehubungan itu, semua aduan salahlaku dan maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Unit Integriti melalui emel myintegriti@kbs.gov.my atau hadir sendiri ke Aras 5, Menara KBS, Kementerian Belia dan Sukan, No 27, Persiaran Perdana, Presint 4, 62570 Putrajaya. Informasi mengenai pengadu / pemberi maklumat dan aduan yang dibuat berkaitan dengan KESALAHAN JENAYAH RASUAH adalah dirahsiakan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 : -

“ Sesuatu aduan yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang kepada mana-mana orang selain pegawai-pegawai Suruhanjaya dan Pendakwa Raya sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah atas sesuatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain berbangkit daripada aduan itu, melainkan jika pendedahan itu dibuat dengan persetujuan Pendakwa Raya atau seorang pegawai Suruhanjaya yang berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi.”

dan Seksyen 65 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 perlindungan pemberi maklumat dan maklumat:-

“ 65.(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), jika apa-apa aduan yang dibuat oleh seseorang pegawai Suruhanjaya menyatakan bahawa aduan itu dibuat berbangkit daripada maklumat yang diterima oleh pegawai yang membuat aduan itu, maklumat yang disebut dalam aduan itu dan identiti orang yang daripadanya maklumat itu diterima hendaklah menjadi rahsia antara pegawai yang membuat aduan itu dengan orang yang memberikan maklumat itu, dan segala-gala yang terkandung dalam maklumat itu, identiti orang yang memberikan maklumat itu dan segala hal keadaan lain yang berhubungan dengan maklumat itu, termasuk tempat maklumat itu diberikan, tidak boleh didedahkan atau diperintahkan atau dikehendaki supaya didedahkan dalam mana-mana prosiding sivil, jenayah atau yang lain dalam mana-mana mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain.” 


Unit Integriti
Kementerian Belia dan Sukan

FIT MALAYSIA

 
Asas dalam mencapai apa saja yang kita inginkan adalah tubuh badan yang sihat. FitMalaysia membantu anda ke arah ini.

SUKAN SEA 2017

 
Jumpa anda di Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017

Hari Sukan Negara

 
Jumpa kami di Hari Sukan Negara 2017.
BCMath lib not installed. RSA encryption unavailable