JOHOR BAHRU, 7 Ogos 2019 - Bahang Sukan Malaysia edisi ke-20 (SUKMA XX) semakin terasa dengan pelancaran logo dan maskot rasmi temasya yang disempurnakan Menteri Besar Johor, Dato' Dr. Sahruddin Jamal.

Logo SUKMA XX yang diperkenalkan bercirikan jawi menerusi huruf "Jim" yang mewakili negeri Johor dan juga identiti kebanggaan rakyat Johor yang masih memartabatkan tulisan jawi selain turut digabungkan sebagai obor temasya.

Slogan "Semarak Juara" pula dipilih merupakan laungan bagi menyahut cabaran untuk memperkasakan semangat kesukanan dan kegemilangan sukan.

Maskot SUKMA ke-20 iaitu seekor harimau yang dinamakan Jimi turut diperkenalkan kepada umum buat pertama kali.

Jelas Dr Sahruddin, Jimi adalah seekor harimau yang berani dan garang turut menampilkan ciri kesultanan zaman berzaman yang menjadi identiti Johor.

Turut hadir pada majlis pelancaran logo dan maskot rasmi SUKMA XX termsuklah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

SUKMA ke-20 akan berlangsung pada 11 hingga 19 Julai 2020 di 38 venue sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar untuk 30 acara sukan yang akan melibatkan 14 buah kontinjen negeri dan negara Brunei.

Kali terakhir Johor diberi penghormatan sebagai tuan rumah adalah pada 1992, iaitu edisi ke-4 SUKMA diadakan.

Go to top