KUALA LUMPUR, 14 November 2019 - Atlet paralimpik negara menerima tonik terbaik menjelang Sukan Paralimpik Tokyo 2020 apabila menerima tajaan terbesar, RM5 juta dari FWD Takaful Berhad.
Perjanjian yang bermula dari 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2020 itu meliputi kos peralatan sukan, latihan, pakaian perjalanan dan perbelanjaan atlet-atlet para negara, selain menyediakan perlindungan takaful untuk semua atlet, termasuk mereka yang bakal bertanding di Tokyo nanti.
Bercakap kepada media, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata tajaan ini amat bermakna buat atlet para negara yang telah mempamerkan aksi luar biasa ketika ini.
"Terima kasih kepada syarikat FWD Takaful Berhad yang sudi membuat pelaburan bagi membantu atlet luar biasa kita. Saya berharap lebih banyak syarikat-syarikat swasta, tokoh korporat tampil untuk membantu untuk memperkasa, mempertingkat dan menyokong atlet luar biasa ini sekaligus mencipta lebih banyak kejayaan cemerlang di masa akan datang".
Penajaan FWD Takaful turut merangkumi program-program seperti Kejohanan Sirkit Kebangsaan dan acara yang memberi tumpuan kepada pencarian bakat baharu seperti Kem Pembangunan Bakat dan Karnival Sukan Para.
Pada majlis yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, FWD Takaful diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Salim Majid Zain manakala MSN diwakili Ketua Pengarah, Datuk Ahmad Shapawi Ismail sambil disaksikan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.