YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan telah mengadakan lawatan ke fasiliti premis syarikat Viper Niza Sdn Bhd di Shah Alam. Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab memastikan pembangunan belia dan perkembangan sukan yang sihat termasuk juga dari aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau singkatannya TVET di kalangan anak muda, Kementerian melihat hubungan baik di antara badan Kerajaan dengan industri hendaklah sentiasa wujud dalam saling mengimbangi pasaran ekonomi dan keperluan pekerjaan semasa.

Akademi Kemahiran Belia Motorsports (AKBM) merupakan salah satu institusi latihan di bawah Kementerian Belia dan Sukan dan mempunyai kerjasama dengan Viper Niza Sdn Bhd dalam pelaksanaan penempatan Latihan Industri (LI) dan penempatan pekerjaan kepada graduan. Antara pekerjaan yang ditawarkan kepada graduan AKBM adalah pembantu jurutera, juruteknik penalaan, juruteknik enjin, juruteknik tayar dan juruteknik bahan api. Kementerian ingin menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan aktif pihak Viper Niza dalam memastikan latihan kemahiran motorsports di AKBM dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui keterlibatan syarikat ini sepanjang tempoh latihan pelajar di akademi tersebut.

Turut hadir Ir. Dr. Hajah Aziyati Binti Yusoff, wakil dari Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Encik Nor Azli bin Mohamad Daud, Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan dan Rekreasi wakil dari Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan. Terdapat juga graduan ILKBS yang pernah menjalani LI dan diberi penempatan pekerjaan dengan Team Viper Niza Racing adalah Mohd Nur Akmal – sebagai Technician Fuel Man & Tyres di V de V European Series, Le Mans Prototype 2 Category Navara Circuit & Catalunya, Spain 2018.
Go to top