Kiara Skatepark yang menjadi kemudahan tumpuan bagi peminat sukan lasak terutama komuniti luncur beroda dan BMX di sekitar Lembah Klang kini dibuka semula setelah siap menjalani kerja-kerja baikpulih dan pengubahsuaian yang bermula sejak awal Januari tahun ini. Pembukaan awal Kiara Skatepark kepada orang awam dengan satu tempoh percubaan telah bermula pada 1 November lalu dengan meletakkan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di tahap yang tertinggi.
Majlis Pelancaran Semula Kiara Skatepark - ‘The Rebirth of Kiara Skatepark’ telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan hari ini.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Puan Ramona binti Mohd Razali, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Encik Abdullah bin Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Encik Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif, Impact Integrated selaku agensi yang diberi tanggungjawab oleh KBS untuk menguruskan Kiara Skatepark, bersama-sama dengan rakan kerjasama mereka iaitu Encik Munir Muhammad, Pengurus Pemasaran Jenama Vans Malaysia dan Puan Sarah Chan, Pengurus Penjenamaan dan Komunikasi Korporat, U Mobile.