Bagi memperkasakan bekas atlet kebangsaan dengan ilmu dan kemahiran, agar mereka dapat bangkit menjana dan menstabilkan ekonomi setelah bersara, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dengan kerjasama Yayasan Hasanah telah menganjurkan Program Pemerkasaan Kemahiran Untuk Bekas Atlet Kebangsaan di Kuala Lumpur. Kursus yang bermula 8 hingga 14 November, telah disertai oleh 100 orang bekas atlet negara, 15 daripadanya adalah bekas atlet Para. Pada kursus tersebut, peserta telah dibahagikan kepada 4 bidang iaitu Pembuatan Bakeri, Selenggara Penghawa Dingin, Sejuk Beku dan Operator Food Court.

YB Senator Dato' Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan telah meluangkan masa mengadakan tinjauan pelaksanaan dan beramah mesra dengan para peserta. Turut hadir bersama pada sesi tinjauan tersebut ialah Puan Ramona binti Mohd Razali, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Encik Abdullah bin Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS serta Dato' Noorul Ariffin bin Abdul Majeed selaku Pengerusi YAKEB.
Go to top