Dalam RMK-12, terdapat 14 pemacu perubahan yang akan diperkenalkan oleh kerajaan dan salah satunya adalah ‘Menambah Baik Ekosistem TVET Bagi Membangunkan Bakat Tersedia Masa Hadapan’. Jika sistem sokongan TVET ini ditambah baik, sudah pasti lebih banyak peluang dan ruang yang akan dibuka dalam membangun serta melahirkan pekerja mahir dan separa mahir untuk manfaat rakyat juga negara.
Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pendidikan TVET bukan lagi pendidikan kelas kedua sebaliknya sebaris dengan program akademik yang ditawarkan di universiti awam (UA) atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain.
Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Mohd Iqbal Mohd Noor berkata, di Malaysia sahaja terdapat lebih 1,200 institusi latihan kemahiran yang menawarkan program TVET, sama ada melalui ILKA mahupun Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS). Menurut beliau, di KBS saja terdapat 22 Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang merupakan antara institusi TVET terawal di Malaysia sejak tahun 1964, merangkumi lapan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), 13 Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan satu Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG).
“Kami di ILKBS bukan sahaja memberikan latihan kemahiran tetapi turut bersungguh-sungguh dalam melahirkan graduan yang mempunyai ciri-ciri kemanusiaan berteraskan elemen pembangunan modal insan. “Kita sedia maklum pihak majikan hari ini memerlukan pekerja yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal tetapi juga kemahiran insaniah dan berdisiplin bagi meningkatkan produktiviti syarikat seterusnya mampu berdaya saing.
“Oleh itu, ILKBS bersiap sedia melahirkan graduan sedemikian bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan,” kata beliau kepada GPSBestari, Sinar Harian Isnin, 4 Oktober 2021. Ikuti kupasan lanjut di https://gpsbestari.sinarharian.com.my/gen-z/tvet-cungkil-potensi-kemahiran-pelajar-penuhi-kehendak-industri-pekerjaan-negara
Go to top