SEPANG, 1 JANUARI 2022 - Skuad Sukarelawan Pasca Banjir Kementerian Belia dan Sukan berkolaborasi dengan agensi dan pihak swasta dalam usaha membersihkan kawasan yang terkesan akibat bencana banjir. Agensi yang terlibat dalam membantu kerja kesukarelawanan KBS ialah Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD). Manakala badan korporat yang terlibat adalah Syarikat Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd., Mestron Holdings Berhad dan Corporate Charity Fund. YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, Menteri Belia dan Sukan telah hadir sama dalam aktiviti kesukarelawanan yang diadakan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Sepang.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menerima beberapa lori daripada Syarikat Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd. untuk mengangkut sampah di kawasan operasi kesukarelawanan. Manakala, Syarikat Mestron Holdings Berhad telah menyumbangkan tilam dan perkakas elektrik seperti periuk nasi elektrik dan cerek elektrik untuk kegunaan mangsa banjir. KBS turut menggunakan khidmat bantuan daripada RAJD Batu Kentomen yang melibatkan seramai 22 orang anggota RAJD yang turut membantu sukarelawan KBS di kawasan terjejas.

Sebanyak sembilan buah lori jenis tipper truck daripada Syarikat Dhaya Maju Sdn. Bhd. dan sebuah lori Angkatan Tentera Malaysia telah diserahkan kepada KBS untuk digunakan bagi tujuan kesukarelawanan. Turut hadir bersama ialah YBhg. Datuk Mohamed Razeek Hussain Maricar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat induk kepada Syarikat Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd. dan Encik Norazli Indzam, Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Belia dan Sukan.