PUTRAJAYA, 25 MAC 2022 - YB Dato' Seri Ahmad Faizal bin Dato' Azumu, Menteri Belia dan Sukan telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Brigadier General (Rtd) Dato Paduka Haji Mahmud Haji Saidin, Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Malaysia pada 25 Mac 2022. Kunjungan hormat tersebut bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei Darussalam terutamanya dalam kerjasama pembangunan belia dan sukan serta membincangkan bidang kerjasama yang boleh diterokai bersama. Antara bidang kerjasama yang telah dibincangkan adalah program pertukaran penempatan pegawai belia dan sukan, pertukaran belia termasuk dalam bidang kemahiran serta latihan atlet Brunei Darussalam di Malaysia. Kedua-dua negara turut bersetuju supaya Memorandum Persefahaman dalam bidang kerjasama belia dan sukan disegerakan untuk dimeterai. Turut sama semasa kunjungan hormat tersebut adalah YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha KBS dan YBrs. Puan Nur Nazirah Md Joha, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa.
Go to top