Bangi, 17 September - Bertempat di Dewan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung Majlis Perasmian Sukan Malaysia XX MSN 2022 yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob. Ketibaan YAB Perdana Menteri ke majlis perasmian disambut dengan sorakan gemuruh dari para atlet yang mengambil bahagian.

Majlis perasmian dimulakan dengan pengenalan maskot SUKMA 2022 iaitu Oyen serta diikuti dengan perarakan masuk 15 kontinjen negeri yang bertanding serta perarakan masuk bendera temasya. Legenda tenpin boling negara, Shalin Zulkifli diberi penghormatan menyalakan obor temasya SUKMA XX 2022.

YAB Perdana Menteri dalam ucapannya berkata sukan merupakan instrumen terbaik perpaduan Keluarga Malaysia. Tambah beliau lagi, kelahiran atlet yang cemerlang bermula dengan ahli keluarga yang memberikan sokongan kepada mereka. Beliau turut menyeru para atlet menjadikan pentas SUKMA kali ini sebagai arena membuktikan kejaguhan dan yang terbaik diangkat membawa cabaran negara di Sukan SEA Kemboja 2023.

Temasya SUKMA XX MSN 2022 kali ini melibatkan 31 jenis sukan, 426 acara, 6,606 atlet dan 15 pasukan kontinjen. SUKMA kali terakhir diadakan dengan gemilangnya di Perak pada tahun 2018.
Hadir sama, YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu, Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan, KSU KBS.

Ayuh keluarga Malaysia! Berikan sokongan dan semangat anda pada atlet-atlet Sukan Malaysia!

“Sukan wadah pembinaan bangsa dan negara.”

Go to top