KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2019 - Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengharapkan sokongan padu rakyat Malaysia di London khususnya, dan juga penyokong setia pasukan hoki negara turun beramai-ramai ke Pusat Hoki dan Tenis Lee Valley, London, pada 2 dan 3 November ini.
Malaysia akan berdepan Great Britain dalam perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Syed Saddiq yang meluangkan masa bertemu skuad kendalian Roelant Oltmans di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Khamis menyeru pemain berjuang seperti di gelanggang sendiri biarpun beraksi di tempat lawan.
Syed Saddiq tidak mahu Malaysian Tigers terkesan dengan ketiadaan sokongan padu khususnya dari penyokong negara sendiri.
Pada 9 September lepas, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) memutuskan skuad Malaysian Tigers akan berdepan pasukan Great Britain dalam dua aksi 'play-off' kelayakan temasya itu yang dijadual berlangsung di Pusat Hoki dan Tenis Lee Valley, London, pada 2 dan 3 November ini.
Kali terakhir Malaysia beraksi pada temasya sukan terbesar dunia itu adalah pada Sukan Olimpik Sydney 2000.