KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2019 - Kemuncak sambutan Bulan Sukan Negara 2019 disambut meriah hampir 30 ribu orang yang membanjiri perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Majlis perasmian Bulan Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2019 disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Hadir sama, Timbalan Menteri, Steven Sim Chee Keong, Ketua Setiausaha, Dr.Waitchalla R.R.V Suppiah dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato' Ahmad Shapawi Ismail.

Majlis sambutan peringkat kebangsaan hari ini dimeriahkan dengan lebih 75 aktiviti sukan termasuk FitMalaysia, Karnival Kecergasan dan Sukan OKU, Peringkat Akhir e-Sukan, Zumba Fest, Hari Sukan Wanita, Konvensyen Wanita dalam Sukan, serta Karnival Sukan Permotoran.

Sementara itu, pada majlis yang sama bekas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei bagi pihak Yayasan Lee Chong Wei menyerahkan tajaan berjumlah RM2 juta dengan RM1.4 juta adalah bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan RM600,000 lagi diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang bakal digunakan bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2020.

Tidak ketinggalan, kontinjen paralimpik negara juga turut menerima perkhabaran gembira apabila FWD Takaful Berhad, menyumbang penajaan berjumlah RM5 juta untuk tempoh 12 bulan.

Go to top