KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2019 - Skuad pelayaran akan menjalani latihan fasa akhir di lokasi yang akan menjadi venue pertandingan acara tersebut iaitu di Subic bermula 18 Oktober hingga 8 November depan.

Jelas jurulatih pelayaran negara Mohd Afendy Abdullah, Subic mempunyai persamaan dengan tempat latihan di Langkawi dan kesempatan itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin pasukan pelayaran bagi merealisasikan sasaran membawa pulang empat pingat emas daripada 12 acara dipertandingkan.

Bagi pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy yang bakal membuat penampilan kelima dalam temasya Sukan SEA, mengakui kejayaan di Filipina akan mempengaruhi motivasinya dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo.

Manakala Nur Shazrin Mohd Latif pula menyifatkan Thailand adalah pencabar utama pada temasya di Filipina nanti.

Khairulnizam dan Nur Shazrin antara atlet negara terawal mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas melakar kejayaan di Sukan Asia 2018.

Dua tahun lalu di Kuala Lumpur, Malaysia muncul juara keseluruhan dengan enam emas, empat perak dan empat gangsa sementara Thailand dan Singapura yang mengumpul masing-masing empat emas di kedudukan kedua dan ketiga.

Go to top