KUALA BERANG, 19 OKTOBER 2019 – Seramai 134 peserta berjuang merebut gelaran juara bagi bidang kemahiran sektor pembinaan di Pertandingan Peringkat Akhir WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2019 anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia bertempat di Akademi Binaan Malaysia (ABM), Wilayah Timur, Terengganu.

Pertandingan yang diadakan pada 17 – 21 Oktober 2019 ini akan menyaksikan sebanyak 12 bidang dipertandingkan. Pemenang peringkat akhir akan menerima insentif berbentuk wang tunai, pingat dan sijil penghargaan serta bakal melayakkan diri untuk mewakili Malaysia ke peringkat ASEAN, Asia dan Dunia.

ILKBS tidak terkecuali dimana seramai 14 orang peserta telah layak ke peringkat akhir  pertandingan kali ini dengan melibatkan 8 bidang iaitu  Bricklaying, Electrical Installation, Mechanical Eng. CAD, Painting & Decorating, Plumbing & Heating, Refrigeration & Air Conditioning, Wall & Floor Tiling dan Welding. Kesemua mereka adalah individu yang telah melepasi peringkat pra kelayakan pertandingan WSMB bulan April yang lalu.

Pertandingan yang memasuki hari ke-3 hari ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya Malaysia. Turut hadir semasa majlis perasmian ialah YBhg. Dato’ Dr. Hajah Wasitah Binti Haji Yusof, Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Setelah selesai majlis perasmian, YBhg. Dato’ Dr. Hajah Wasitah Binti Haji Yusof dibawa  melawat keseluruh 12 tapak pertandingan akhir WSMB 2019 di ABM, Terengganu. Dalam lawatan tersebut, beliau berkesempatan memberikan kata-kata motivasi kepada Hero ILKBS yang sedang bertanding bagi menyemarakkan lagi semangat untuk mereka bergelar juara di peringkat akhir WSMB 2019.

Go to top