LANGKAWI 17 MEI 2015 - Ditubuhkan pada 10 Julai 2002 dengan objektif penubuhannya untuk membentuk jati diri, membudayakan sikap kepimpinan serta memupuk semangat kesukarelaan dalam kalangan ahli Setelah 19 tahun kewujudan persatuan belia yang “independent” ini, persatuan ini terus berdiri teguh menaungi belia-belia di Langkawi khususnya di Kampung Chandek Kura dan menjadi kebanggaan penduduk kampung.

Hasil kerja keras serta kepimpinan yang jitu, persatuan yang bergerak sendiri ini mampu bersaing dan berada seiring dengan persatuan-persatuan yang lain di sini. Tahun ini menyaksikan sejarah tercipta apabila persatuan ini dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kedah bagi kategori Pertubuhan Belia dan secara automatik mewakili Negeri Kedah ke peringkat Kebangsaan.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kedah, Aminuddin Omar yang hadir mewakili Menteri Besar Kedah sempena Karnival Fiesta Belia 1 Malaysia 2015 Peringkat Negeri Kedah pada 8 Mei lalu di Taman Tema Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah. Di peringkat Kebangsaan, persatuan ini hanya layak menerima hadiah sagu hati, namun demikian, nama Persatuan Belia Kampung Chandek Kura bergema di Majlis APBN yang disempurnakan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak.

“Sebagai sebuah persatuan “kerdil” kejayaan mewakili negeri Kedah ke peringkat Kebangsaan merupakan kejayaan yang amat besar untuk kami dan menyuntik semangat seluruh ahli persatuan ini untuk terus maju di masa hadapan”, ujar Pengerusi persatuan ini yang ditemui di Langkawi, Abd Karim Baharom.


Oleh :
Nurul Fitriah Binti Hj Drani (PBSD Langkawi)
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Disunting :
Razali Haji Mohamed Yassin (Unit Komunikasi Korporat KBS)
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Go to top