
Majlis Perasmian Padang Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City (KLSC)
- ukk
Bukit Jalil, 12 Oktober 2023 - Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menyempurnakan Majlis Perasmian Padang Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City (KLSC) pada hari ini. Majlis ini diadakan sebagai penghargaan ke atas kurniaan tajaan dana dari DYAM Tunku Mahkota Johor untuk penukaran rumput di padang Stadium Nasional, KLSC.
Majlis ini turut dihadiri oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan dan YBhg. Dato’ Gerald Hans Isaac, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia.
Kerja- kerja penukaran rumput Stadium Nasional telah dilaksanakan sebaik sahaja majlis perasmian disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan bersama Ketua Pegawai Eksekutif, PSM dengan disaksikan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor pada 18 Mac 2023.
KBS menjunjung kasih di atas kurnian rumput Zeon Zoysia di padang Stadium Nasional dan tapak semaian milik Perbadanan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor.
Hari ini, padang Stadium Nasional telah bersedia untuk mengadakan pelbagai perlawanan bola sepak termasuk Pestabola Merdeka yang akan berlangsung pada 13 Oktober dan 17 Oktober 2023.
Selain projek penukaran rumput Stadium Nasional, PSM juga sedang giat menaik taraf dan menambah baik keseluruhan fasiliti dan kemudahan sedia ada di Stadium Nasional. Antara kerja-kerja naik taraf yang telah selesai adalah Kerja-Kerja Pembaikan Kerosakan Trek Larian Kawasan Luar Stadium Nasional dan Kerja-Kerja Penyelenggaraan Facade Stadium Nasional.
Selaras dengan teras Malaysia Madani, KBS berharap dengan penukaran rumput baru serta penambahbaikan yang telah dilaksanakan ini akan dapat meningkatkan semangat pemain bola sepak di Malaysia dan pasukan Harimau Malaya dapat beraksi dengan lebih cemerlang di padang yang lebih baik.
#TeamKBS #MalaysiaMADANI #TeamKBS