Perkampungan Menara Gading Perlis (PMGPs2023) merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Cawangan Perlis (PKPIM Perlis). Pada tahun ini, pihak PKPIM Perlis telah bersetuju untuk berkolaborasi bersama Jabatan Belia & Sukan Negeri Perlis sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis untuk menjayakan program ini. Program ini bertujuan bagi melatih bakal-bakal mahasiswa agar bersifat dinamik dan progresif sebagai persediaan untuk kepimpinan negara pada masa akan datang berpandukan elemen-elemen kebitaraan serta kesukarelawanan. Hasrat ini diusahakan dengan meletakkan tradisi budaya ilmu sebagai pra-syarat penting ke arah pembinaan sahsiah yang unggul, pembentukan bangsa yang mapan dan pembinaan tamadun yang tinggi.