Geran Padanan Sukan (GPS) — Soalan Lazim
Soalan Lazim

Soalan Lazim Geran Padanan Sukan (GPS)

23 soalan dan jawapan rasmi untuk rujukan cepat.

Gunakan carian untuk tapis soalan. Klik pada soalan untuk buka jawapan.

Senarai Soalan
23 item
01
Apakah kaedah pemberian peruntukan GPS KBS?
Klik untuk lihat jawapan.
Kaedah pemberian peruntukan GPS KBS adalah secara tuntutan bayaran balik (reimbursement) selepas program selesai dilaksanakan.
02
Siapakah yang layak memohon GPS KBS?
Klik untuk lihat jawapan.
Persatuan/ Kelab/ Pertubuhan yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
03
Apakah skop permohonan di bawah GPS KBS?
Klik untuk lihat jawapan.
a) Permohonan adalah meliputi penganjuran program sukan bagi sukan prestasi tinggi/ impak tinggi di peringkat Negeri, Kebangsaan dan Antarabangsa yang dilaksanakan di dalam negara:

i. Prestasi Tinggi:
Sukan yang menentukan Ranking; dan
Dilaksanakan oleh Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan Persatuan Sukan Negeri (PSN).

ii. Impak Tinggi:
Dilaksanakan oleh Persatuan/ Kelab/ Pertubuhan yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS);dan Memberi impak kepada ekonomi (ROI) / industri sukan.
b) Melibatkan 103 jenis sukan di bawah Jadual Pertama Akta Pembangunan Sukan 1997 sepertimana dinyatakan dalam Pekeliling Pesuruhjaya Sukan Bilangan 2 Tahun 2023; dan
c) Program yang belum dilaksanakan.
04
Apakah kategori permohonan yang tidak dipertimbangkan di bawah GPS KBS?
Klik untuk lihat jawapan.
i. Berdaftar selain di bawah PJS/ ROY/ ROS;
ii. Pemohon yang telah digantung atau dibatalkan pendaftarannya atau yang tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan masing-masing;
iii. Permohonan daripada entiti atau organisasi politik;
iv. Permohonan yang tidak lengkap dan tidak memenuhi syarat;
v. Program sukan yang sedang berlangsung atau telah tamat;
vi. Menjalankan perniagaan/ aktiviti yang dilarang oleh Kerajaan;
vii. Entiti yang telah disenarai hitam atau diisytiharkan bankrap oleh pihak Kerajaan;
viii. Bertentangan dengan undang-undang atau dasar-dasar Kerajaan semasa, menyentuh sensitiviti atau menjejaskan keharmonian rakyat, komuniti serta menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam;
ix. Penganjuran sukan yang terlibat dengan mana-mana individu/organisasi yang menjalankan perniagaan/aktiviti yang dilarang oleh Kerajaan, termasuk minuman keras, berasaskan tembakau, rokok elektronik, perjudian atau berunsur seksual; dan
x. Syarikat, Yayasan, Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan.
05
Bilakah tarikh permohonan GPS KBS?
Klik untuk lihat jawapan.

Permohonan dibuka bermula 15 Disember 2025 sehingga 1 Julai 2026 dan boleh diisi secara dalam talian di pautan: https://gps.kbs.gov.my/.

Pemohon boleh merujuk kepada jadual berikut untuk perancangan permohonan:

i Jendela Permohonan
Jendela Tarikh Program Permohonan Ditutup Pada Tarikh Keputusan
1 Jendela 1 15 Feb – 31 Okt 31 Dis 2025 15 Jan
2 Jendela 2 15 Apr – 31 Okt 28 Feb 2026 15 Mac
3 Jendela 3 15 Jun – 31 Okt 15 Apr 2026 15 Mei
4 Jendela 4 1 Sept – 31 Okt 1 Jul 2026 31 Jul
Nota: Sebarang perubahan tarikh adalah tertakluk kepada perubahan semasa.
06
Berapakah nilai minimum permohonan untuk menganjurkan satu (1) program?
Klik untuk lihat jawapan.
Nilai program sukan bagi satu permohonan adalah tidak kurang daripada RM50,000.00.
07
Berapakah jumlah permohonan yang boleh dipertimbangkan/diluluskan untuk program di bawah GPS KBS?
Klik untuk lihat jawapan.
Pemohon layak membuat lebih daripada satu (1) permohonan. Namun, setiap pemohon hanya dipertimbangkan SATU (1) kelulusan di setiap Jendela; dan
Kelulusan bagi permohonan seterusnya akan diberi setelah laporan lengkap dikemukakan dan bayaran tuntutan telah sempurna bagi kelulusan terdahulu.
08
Bila tarikh akhir untuk melaksanakan program sukan di bawah GPS KBS?
Klik untuk lihat jawapan.
Tempoh pelaksanaan program yang diluluskan adalah sehingga 31 Oktober 2026 dan sebarang pelanjutan tempoh pelaksanaan selepas tarikh tersebut adalah TIDAK DIBENARKAN.
09
Berapakah nilai minimum dan siling peruntukan yang boleh diluluskan untuk program di bawah GPS KBS?
Klik untuk lihat jawapan.
Sehingga 50% daripada kos program atau maksimum sehingga RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta Sahaja).
10
Adakah permohonan yang diluluskan layak menerima pendahuluan (advanced/upfront) sebelum penganjuran program?
Klik untuk lihat jawapan.
TIDAK. Bayaran hanya dibuat secara tuntutan bayaran balik (reimbursement) selepas program selesai dilaksanakan. Tuntutan perlu dikemukakan secara hardcopy dengan disertakan dokumen bayaran yang lengkap seperti bukti bayaran, bil pihak ketiga dan resit perbelanjaan rasmi serta dokumen berkaitan. (Sila rujuk senarai semak semasa tuntutan)
11
Siapakah yang layak menuntut GPS?
Klik untuk lihat jawapan.
Pemohon yang menerima notifikasi “DILULUSKAN” dalam sistem GPS serta e-mel Surat Kelulusan daripada Sekretariat GPS KBS.
12
Adakah saya boleh membuat rayuan sekiranya permohonan ditolak?
Klik untuk lihat jawapan.
Keputusan Jawatankuasa Pelulus adalah MUKTAMAD dan segala rayuan tidak akan dipertimbangkan;
13
Berapa lama tempoh penyerahan Akaun Penerimaan?
Klik untuk lihat jawapan.
Pemohon perlu mengembalikan salinan asal Akuan Penerimaan yang telah ditandatangani dan dicop dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh penerimaan e-mel surat kelulusan. Kegagalan mengemukakan Akuan Penerimaan dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan kelulusan DIBATALKAN.
14
Bagaimana proses tuntutan bayaran GPS KBS?
Klik untuk lihat jawapan.
Pemohon hendaklah mengembalikan laporan pelaksanaan program mengikut templat yang disediakan oleh Sekretariat berserta resit - resit perbelanjaan program yang mana setiap muka surat telah disahkan (cop) oleh persatuan. Pemohon hendaklah mengemukakan resit perbelanjaan 100% yang dibelanjakan bagi membolehkan persatuan menerima 50% nilai padanan sukan.
15
Saya perlu menyertakan slip eVENDOR semasa membuat permohonan GPS dalam talian. Apakah sistem eVENDOR?
Klik untuk lihat jawapan.
Sistem pendaftaran untuk pembekal dan individu yang berurusan dengan Kerajaan. Persatuan/ Kelab/ Pertubuhan yang masih belum mempunyai eVENDOR boleh membuat pendaftaran di https://evendor.anm.gov.my/
16
Saya telah menerima kelulusan GPS dan dikehendaki untuk menyediakan Kod QR Borang Kaji Selidik Tinjauan Ekonomi Sukan (TES) semasa program berlangsung. Apakah yang dimaksudkan dengan TES?
Klik untuk lihat jawapan.
a) TES ialah kaji selidik yang dijalankan semasa acara sukan untuk menilai perbelanjaan peserta dan pengunjung seperti pengangkutan, penginapan, makanan, pembelian barangan sukan, dan yuran penyertaan.
b) Kod QR TES akan diberikan melalui e-mel Surat Kelulusan oleh Sekretariat GPS.
c) Penerima GPS perlu:
i. Menyediakan kod QR untuk kaji selidik TES.
ii. Memaparkan kod QR di sekitar venue atau dalam e-mel kepada peserta.
iii. Melampirkan gambar bukti edaran kod QR semasa membuat tuntutan.
17
Adakah badan sukan berdaftar perlu memohon kelulusan PJS untuk menganjurkan acara sukan tempatan?
Klik untuk lihat jawapan.
a) Untuk acara sukan tempatan, TIDAK PERLU. Namun, penganjur mesti:
i. Mendapatkan sanksi dari badan pengelola sukan.
ii. Mendapatkan insurans untuk pertandingan.
iii.Mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan lain-lain arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

b) Untuk acara antarabangsa, permohonan kepada PJS diperlukan mengikut Akta 576 Seksyen 33 dan mesti dibuat 30 hari sebelum acara.
18
Sekiranya penganjur ingin menganjurkan acara sukan peringkat antarabangsa di Malaysia adakah perlu membuat permohonan dengan PJS?
Klik untuk lihat jawapan.
PERLU. Merujuk kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) Seksyen 33(1) “Tiada seorang pun boleh membuat tawaran atau menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertandingan atau acara sukan antarabangsa di Malaysia tanpa kelulusan bertulis Menteri terlebih dahulu dan keputusan Menteri adalah muktamad’. Permohonan penganjuran acara sukan peringkat antarangsa yang dibuat melalui PJS (menggunakan sistem eROSA) akan disemak dan diteliti sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran Sukan Antarabangsa (JKPSA) seterusnya diangkat kepada Menteri untuk kelulusan bergantung kepada dokumen yang lengkap.
19
Apakah perbezaan penganjuran kejohanan/ pertandingan/ acara sukan peringkat tempatan dan antarabangsa?
Klik untuk lihat jawapan.
a) Tempatan - Mana-mana penganjuran pertandingan sukan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, bahagian atau mana-mana kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan yang melibatkan penyertaan warganegara tempatan atau pemastautin tetap.
b) Antarabangsa – Penganjuran pertandingan sukan di Malaysia yang disertai oleh mana-mana bukan warganegara yang mewakili sesuatu negara atau secara individu tidak termasuk yang menetap dan bekerja atau belajar di mana-mana bahagian dalam persekutuan.
20
Kenapa perlu mendapatkan insuran dan kebenaran (sanction) badan pengelola sukan untuk pelesenan dan penganjuran kejohanan/ pertandingan/ acara sukan?
Klik untuk lihat jawapan.
Ini bagi memastikan setiap penganjuran/pertandingan/acara yang dianjurkan mengikut kaedah dan garis panduan yang diiktiraf oleh semua badan pengelola sepertimana dinyatakan di dalam Akta 576 seksyen 34;

“Sesuatu badan sukan hendaklah memastikan bahawa semua pertandingan dan acara sukan yang dibenarkan, dijalankan atau disertai olehnya serta pertandingan dan acara sukan yang diadakan di bawah naungannya, adalah mengikut kaedah dan garis panduan yang diiktiraf oleh semua badan pengelola dan pengawalseliaan bagi sukannya dalam semua perkara, termasuk standard dan kelayakan semua peserta dan pegawai serta langkah kesihatan dan keselamatan bagi peserta, pegawai dan penonton di pertandingan atau acara itu”.
21
Sekiranya acara sukan yang hendak dianjurkan organisasi saya tidak mempunyai Badan Kebangsaan bagi tujuan sanction. Bagaimana saya boleh meneruskan permohonan kebenaran penganjuran kejohanan atau pertandingan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS)?
Klik untuk lihat jawapan.
a) Mana-mana kejohanan/ pertandingan/ acara sukan yang hendak dianjurkan organisasi tetapi tidak mempunyai Badan Pengelola Kebangsaan bagi tujuan sanction, boleh mengemukakan surat pemakluman kepada PJS bagi menggantikan surat kebenaran dan disertakan peraturan-peraturan permainan/ pertandingan yang digunakan.
b) Sekiranya penganjuran tersebut adalah peringkat antarabangsa, penganjur hendaklah mendapatkan sanction dari Badan Pengelola Antarabangsa (IF).
22
Sekiranya penganjuran kejohanan sukan yang hendak dilaksanakan organisasi saya adalah tidak berisiko, adakah saya masih perlu mendapatkan perlindungan insurans untuk dimuat naik di dalam sistem eROSA?
Klik untuk lihat jawapan.
Setiap jenis penganjuran kejohanan/ pertandingan/ acara sukan yang hendak dilaksanakan sama ada berisiko atau pun tidak, PERLU mendapatkan perlindungan insurans dan ianya merupakan syarat WAJIB yang telah ditetapkan pihak KBS
23
Sekiranya saya berdepan masalah berhubung penggunaan sistem permohonan dan hendak mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai GPS, dimanakah saya boleh merujuk?
Klik untuk lihat jawapan.
Bilik Gerakan Dana KBS
Aras 2, Menara KBS, Kementerian Belia dan Sukan,
No. 27, Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

No. Telefon : 03-8871 3585/ 3315/ 3058/ 3632
E-mel : sekretariatgps@kbs.gov.my
Tiada padanan ditemui. Cuba kata kunci lain (contoh: tuntutan, insurans, eROSA, PJS).
© 2026 Geran Padanan Sukan. Hak cipta terpelihara.
Dibangunkan oleh UPKP/BPM

Please publish modules in offcanvas position.