25 Oktober 2025, Kelana Jaya - Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, hari ini merasmikan FIFA Arena pertama di Malaysia di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, Kelana Jaya, Selangor.

Majlis turut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, serta Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Datuk Haji Hamidin Mohd Amin, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan bola sepak negara.

FIFA Arena merupakan sebahagian daripada komitmen global FIFA membina 1,000 padang mini di seluruh dunia, bagi memperluas akses kepada kemudahan sukan, khususnya untuk komuniti dan sekolah yang memerlukan.

Malaysia menjadi antara negara awal menyertai inisiatif ini, dengan SK Sri Kelana sebagai lokasi pertama dan satu lagi padang mini bakal dibina di SMK Putrajaya Presint 11(2).

Selain itu, Malaysia turut memperkukuh program Football for Schools (F4S) — kerjasama antara FIFA, Kementerian Pendidikan Malaysia dan FAM — bagi mengintegrasikan bola sepak dalam sistem pendidikan dan memperkasakan penyertaan pelajar lelaki serta perempuan di seluruh negara.

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI  #MADANIBekerja  #RancakkanMADANI

24 Oktober 2025, Bukit Jalil, Kuala Lumpur - Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh merasmikan Kejohanan KBS Masters Games 2025 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025.

Diadakan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya, kejohanan ini menampilkan 23 acara sukan dengan penyertaan lebih enam ribu peserta berusia antara 40 hingga 60 tahun.

Ia bertujuan menggalakkan penglibatan aktif golongan dewasa dan warga emas dalam mengekalkan kesihatan fizikal serta kesejahteraan mental.

KBS Masters Games turut menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan, memperkukuh hubungan sosial dan menyokong kesejahteraan komuniti, menjelang status Malaysia sebagai negara menua pada tahun 2048.

Antara acara yang dipertandingkan termasuk hoki, akuatik, berbasikal, bola sepak, boling padang, boules, catur, e-sukan, sepak takraw, memanah, olahraga masters, pickleball, sukan lasak, bola jaring, bola tampar, golf, ping pong, tenpin boling, badminton, scrabble, larian dan tai chi.

Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan KBS dalam merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara Sukan — dengan menekankan budaya sukan sebagai gaya hidup sihat untuk semua peringkat umur, bukan hanya kepada atlet berprestasi tinggi.

Hadir sama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI  #MADANIBekerja  #RancakkanMADANI

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menerima kunjungan delegasi daripada Korea Youth Work Agency (KYWA), sebuah agensi di bawah Kerajaan Korea yang bertanggungjawab menyokong pelaksanaan aktiviti pembangunan belia secara menyeluruh bagi memupuk pertumbuhan dan kesejahteraan belia yang seimbang.

Delegasi tersebut telah mengadakan sesi perbincangan dan perkongsian bersama Encik Ahmad Faedzal bin Md Ramli, Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa, serta pegawai-pegawai dari pelbagai jabatan dan agensi di bawah KBS.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk dasar serta inisiatif pembangunan belia di Malaysia seperti Dasar Belia Malaysia, Program Rakan Muda, Indeks Belia Malaysia, Program TVET KBS, serta program-program belia antarabangsa yang diterajui oleh KBS.

Dalam sesi tersebut, pihak KYWA turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan KBS, khususnya dalam memperluas pelaksanaan program belia antarabangsa antara Korea dan Malaysia pada masa akan datang.

#TeamKBS #MalaysiaMADANI #KitaSemuaTeamMAS #RancakkanMADANI #MADANIBekerja

20 Oktober 2025, Merlimau, Melaka - Rangkuman Hari Ketiga Reruai KBS di Program MADANI Rakyat 2025 Melaka melabuhkan tirainya dengan penuh warna-warni dan kemeriahan di Politeknik Merlimau, Melaka.

Sepanjang tiga hari berlangsung, Reruai KBS sentiasa menjadi tumpuan para pengunjung yang hadir bagi menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti pendaftaran Rakan Muda, konsultasi bantuan kewangan, kuiz interaktif, serta mendapatkan maklumat mengenai inisiatif dan program KBS.

Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Melaka telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri. Turut hadir, YBrs. Tuan Haji Abdullah bin Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS.

Terima kasih atas sokongan dan sambutan hangat warga Melaka yang telah menghidupkan suasana di Reruai KBS sepanjang program ini. Semoga setiap pengisian yang dibawa memberi manfaat serta memperkukuh hubungan KBS dengan masyarakat.

Jumpa lagi di edisi seterusnya Program MADANI Rakyat!

#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #RancakkanMADANI #MADANIBekerja

17 Oktober 2025, Kuala Lumpur - ASEAN Sports Industry Expo 2025 telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, bersama YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.

Ekspo selama tiga hari, dari 17 hingga 19 Oktober 2025, berlangsung di Setia City Convention Centre, Shah Alam, menghimpunkan lebih 35,000 pengunjung termasuk delegasi dari Negara-Negara Anggota ASEAN serta para pempamer daripada pelbagai sektor sukan dan gaya hidup aktif.

Ekspo ini mencerminkan komitmen Malaysia dan ASEAN untuk menjadikan sukan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu, di samping menekankan pembangunan industri sukan berteraskan prinsip Environmental, Social & Governance (ESG) agar pertumbuhan yang dicapai kekal inklusif dan lestari.

Penganjuran oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini diharap dapat menjadi pemangkin utama ke arah pembentukan ekosistem sukan ASEAN yang inovatif, mampan dan berdaya saing di peringkat global.

#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja #RancakkanMADANI

Please publish modules in offcanvas position.