13 Jun 2026, WP Labuan - YB Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, hadir ke Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung dengan penuh meriah dan bersemangat.

Dengan tema “Menggerak Belia MADANI”, sambutan ini menjadi platform penting dalam memperkukuh nilai patriotisme, perpaduan, kesukarelawanan serta kepimpinan dalam kalangan belia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang sambutan berlangsung yang melibatkan penyertaan aktif golongan muda dari seluruh Labuan.

Majlis turut diserikan dengan Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat W.P. Labuan 2026, sebagai pengiktirafan kepada belia yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam pembangunan komuniti dan kepimpinan belia.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah atas sumbangan dan dedikasi yang berterusan dalam memperkasa agenda pembangunan belia di W.P. Labuan.

10 Jun 2026, Nilai - Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mencemar duli ke Kejohanan Trek Kebangsaan dan Remaja Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai.

Kejohanan yang turut dihadiri YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan ini menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta memperkukuh pembangunan sukan berbasikal negara, khususnya dalam kalangan atlet remaja yang bakal menjadi pelapis masa depan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail.

10 Jun 2026, Bukit Jalil - Institut Sukan Negara (ISN) secara rasminya melancarkan Himalaya Sports sebagai Rakan Strategik Korporat ISN dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi Bimol, di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil.

Kerjasama strategik ini merupakan inisiatif Perkongsian Awam-Swasta (Public-Private Partnership, PPP) yang mencerminkan komitmen bersama antara sektor kerajaan dan swasta dalam memperkukuh pembangunan sukan negara serta mempromosikan gaya hidup aktif dan sihat. Melalui kerjasama ini, Himalaya Sports turut menyokong pelbagai inisiatif ESG dan program komuniti ISN yang memberi manfaat kepada atlet, komuniti sukan dan masyarakat.

Kerjasama ini turut mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai tanggungjawab bersama, manfaat bersama dan kemajuan bersama dalam usaha membangunkan negara yang lebih inklusif dan sejahtera.

10 Jun 2026, Bukit Jalil - YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan, telah merasmikan Seminar Wanita Dalam Sukan 2026 serta melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan (PTWDS) 2026–2030 yang berlangsung di Dewan Banquet, Casa 4, Majlis Sukan Negara.

Seminar selama dua hari ini menghimpunkan hampir 200 peserta yang terdiri daripada atlet, jurulatih, pentadbir persatuan sukan, ahli akademik, wakil badan bukan kerajaan, sektor korporat serta penggiat industri bagi membincangkan usaha memperkukuh penyertaan, kepimpinan dan pembangunan wanita dalam ekosistem sukan negara.

Bersempena program ini, PTWDS 2026–2030 turut dilancarkan sebagai dokumen hala tuju strategik yang menggariskan lima teras utama dan 30 program pelaksanaan bagi memperkasakan wanita dalam sukan.

Pelan ini memberi tumpuan kepada pengukuhan dasar dan tadbir urus, peningkatan profesionalisme, pemerkasaan penyertaan dan kepimpinan, pengukuhan penyelidikan berasaskan data serta peluasan promosi dan advokasi secara menyeluruh.

PTWDS 2026–2030 mencerminkan komitmen KBS dalam membentuk landskap sukan yang lebih inklusif, selamat dan progresif, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk cemerlang sebagai atlet, jurulatih, pentadbir dan pemimpin sukan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail.

8 Jun 2026, Putrajaya - YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha KBS hadir di Majlis Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) Tahun 2026.

Majlis ini diadakan bagi mengiktiraf kementerian, jabatan dan agensi yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan keselamatan perlindungan sepanjang tahun 2025.

Pada majlis tersebut, KBS telah dianugerahkan Sijil Cemerlang Kategori Kementerian sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pengurusan keselamatan perlindungan kementerian. Anugerah tersebut telah diterima oleh YBhg. Dato’ Rahimi Ismail selaku Ketua Setiausaha KBS.

#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #RancakkanMADANI #MADANIBekerja

Please publish modules in offcanvas position.