9 Julai 2025, Putrajaya - YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan hadir menyempurnakan Praperasmian Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) dan Prapeluncuran KBS Masters Games 2025.

Bertemakan “Malaysia Aktif” HSN2025 menyasarkan penglibatan lebih 5.2 juta rakyat Malaysia melalui pelbagai program sukan dan rekreasi yang akan berlangsung selama tiga hari, bermula 10 hingga 12 Oktober 2025. 

Majlis Perasmian Peringkat Kebangsaan dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober 2025 (Sabtu) bertempat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak dengan
disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

Bagi penganjuran KBS Masters Games akan diteruskan selari dengan usaha memperluas keterangkuman dalam sukan. 

Program ini memberi ruang kepada rakyat Malaysia berusia 40 hingga 60 tahun
untuk terus bergiat aktif dalam sukan secara sukarela dan kompetitif. 

KBS Masters Games bakal berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025 dan dijangka melibatkan lebih 5,000 peserta dalam 19 acara sukan termasuk akuatik, badminton, olahraga master, pickleball, dan esport.

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI  #MADANIBekerja  #RancakkanMADAN

3 Julai 2025, Kelantan - YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Kem Belia @ Rakan Prihatin Tahun 2025 yang berlangsung di Pantai Cahaya Bulan Resort, Kota Bharu, Kelantan.


Kem Belia @ Rakan Prihatin 2025 akan dilaksanakan di 115 lokasi di seluruh negara dan menyasarkan penyertaan seramai 5,750 orang belia berumur antara 13 hingga 16 tahun.
Pelaksanaan Kem Belia merupakan salah satu inisiatif intervensi sosial KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bagi memperkasa potensi, identiti dan jati diri golongan belia, serta mengurangkan keterlibatan mereka dalam gejala sosial.


Sebanyak 11 topik utama telah dibangunkan bagi pelaksanaan Kem Belia @ Rakan Prihatin Tahun 2025 hasil kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS-UPM) & Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM).


Pembangunan modul ini bertujuan memastikan kandungan pelaksanaan kem lebih sistematik, inklusif dan seimbang merangkumi aktiviti dalam dan luar.


Kem ini turut mendukung fokus KBS tahun ini yang memberi penekanan kepada kesejahteraan belia dan pembangunan nilai sosial serta seiring dengan nilai Kesejahteraan dan Hormat di bawah kerangka Malaysia MADANI.


Hadir sama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.


#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja #RancakkanMADANI

3 Julai 2025, Kelantan - Cabaran Robotik Belia ASEAN 2025 (ASEAN Y-RoboC’25) dan Hari Kerjaya TVET ILKBS Zon Timur 2025 telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh bertempat di Mydin Tunjong Hypermarket, Kelantan.


Program bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 yang diterajui Malaysia, menghimpunkan belia dari seluruh Asia Tenggara bagi menonjolkan kepentingan inovasi digital dan memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja masa hadapan.


Sebanyak 12 pasukan belia dari keseluruhan 10 negara anggota ASEAN telah mengambil bahagian dalam edisi kali ini, termasuk penyertaan dari Timor-Leste.
Program ini turut menyokong Pelan Kerja Belia ASEAN 2021–2025 yang memberi fokus kepada pengukuhan kemahiran digital, inovasi yang digerakkan oleh belia serta kerjasama serantau yang inklusif.


Turut berlangsung Hari Kerjaya TVET ILKBS Zon Timur 2025 yang melibatkan enam ILKBS seperti IKTBN Bachok, IKBN Tanah Merah, IKBN Kemasik, IKBN Wakaf Tapai, IKBN Pekan dan IKTBN Temerloh.


Inisiatif ini menghubungkan para graduan secara langsung dengan pihak industri melalui dialog industri, temu duga terbuka serta pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).
Sebanyak 16 syarikat dan industri mengambil bahagian dalam sesi pengambilan pekerja dengan sokongan daripada PERKESO, manakala empat agensi kerajaan turut serta membuka ruang pameran kerjaya.


Hadir sama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.


#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja #RancakkanMADANI

3 Julai 2025, Kelantan - YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kota Bharu, Kelantan.


Lawatan kerja ini adalah bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dengan AADK dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di bawah inisiatif Belia Bebas Dadah di samping memberikan sokongan moral termasuklah interaksi secara terus bersama klien seterusnya menyokong proses rawatan dan pemulihan.


Berdasarkan statistik yang dikeluarkan AADK, seramai 117,478 individu yang berumur 15 hingga 39 tahun terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang bagi tahun 2024.
PUSPEN Kota Bharu menyediakan perkhidmatan merawat dan memulih individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang secara percuma dan sukarela (tidak melibatkan implikasi undang-undang) khusus untuk individu lelaki yang berusia 13 hingga 25 tahun.


KBS turut mengumumkan penubuhan Skuad SATRIA Rakan Muda – AADK yang berperanan melaksanakan pelbagai aktiviti kesukarelawanan berfokus kepada program advokasi pencegahan dadah.


Lawatan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan belia diberikan keutamaan dan perhatian seiring dengan nilai-nilai MADANI iaitu kesejahteraan, keyakinan dan ihsan serta aspirasi yang terkandung di dalam Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030).


Hadir sama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.


#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja #RancakkanMADA

29 Jun 2025, Kota Kinabalu, Sabah - Bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025, KBS melalui agensinya, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menganjurkan Roundtable Discussion: ASEAN Youth Mental Health 2025 bertempat di Kota Kinabalu, Sabah.

Sesi perbincangan yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menghimpunkan pakar kesihatan mental, pengamal, pembuat dasar, pegawai kerajaan, serta wakil masyarakat sivil dari negara anggota ASEAN dan Timor-Leste. 

Bertemakan “ASEAN Youth Voice: Empowering Minds, Ensuring Well- being,” sesi perbincangan ini memainkan peranan penting dalam memperkasa agenda kesihatan mental serantau untuk golongan belia.

Perbincangn ini juga bertumpukan kepada mengenal pasti cabaran budaya, sosial dan ekonomi yang mempengaruhi kesedaran kesihatan mental, akses kepada perkhidmatan rawatan di rantau ini, meningkatkan kerjasama serantau antara negara anggota ASEAN melalui perkongsian amalan terbaik, dasar dan program dan sebagainya.

Hadir sama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI  #MADANIBekerja

Please publish modules in offcanvas position.