14 April 2025, Putrajaya - YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bilangan 1/2025 pada hari ini. 

Mesyuarat yang turut dihadiri YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan mengambil maklum dengan penetapan 20 jenis Sukan Teras Prestasi Tinggi yang akan memacu pembangunan sukan yang lebih cekap melibatkan semua pemegang taruh sukan, serta menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian atlet di peringkat antarabangsa.

Pemilihan sukan teras ini adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria utama seperti penyertaan dan prestasi dalam kejohanan antarabangsa, pengurusan sukan dan program pembangunan atlet. Senarai ini akan dinilai semula setiap 4 tahun mengikut kitaran temasya Sukan Olimpik. 

Penetapan ini membawa impak signifikan kepada pembangunan ekosistem sukan negara dengan menjadi rujukan utama kepada semua kementerian dan agensi dalam perancangan program, peruntukan sumber dan pelaksanaan dasar berkaitan pembangunan sukan.

Mesyuarat juga bersetuju agar Kementerian Perpaduan Negara terus memperkasa usaha memperluas program sukan secara inklusif melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Program ini mengetengahkan nilai kebersamaan dengan menyediakan platform integrasi yang merentasi sempadan kaum, agama dan sosioekonomi.

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan perancangan program sukan elektronik bagi tahun 2025 oleh Kementerian Belia dan Sukan serta pengukuhan pelaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Usaha ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mencungkil bakat-bakat baharu dalam pelbagai disiplin sukan.

20 jenis Sukan Teras Prestasi Tinggi
1.    Akuatik (Renang & Terjun)
2.    Angkat Berat
3.    Badminton
4.    Berbasikal (Trek)
5.    Boling Padang
6.    Esport
7.    Gimnastik (Artistik & Gimrama)
8.    Hoki
9.    Karate
10.    Memanah
11.    Menembak
12.    Olahraga
13.    Pelayaran
14.    Ping Pong 
15.    Sepak Takraw
16.    Silat
17.    Skuasy
18.    Taekwondo
19.    Tenpin Boling
20.    Wushu

10 April 2025, Kuala Lumpur - YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan meneruskan jelajah Rakan Muda Turun Kampus ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Rakan Muda Turun Kampus merupakan program khusus yang membolehkan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyampaikan aspirasi, pandangan dan idea secara terus kepada kepimpinan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Dalam sesi ini, YB Menteri berpeluang menyampaikan perkongsian serta penerangan berkaitan inisiatif-inisiatif Kerajaan MADANI terutama melibatkan pembangunan belia, sukan dan Rakan Muda.

Hadir sama, YBrs. Profesor Dr. Zamri bin Radzi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM.

Rakan Muda, Yakin Boleh!

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI  #MADANIBekerja

11 April 2025 - Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, telah mengadakan kunjungan hormat kepada Panglima Angkatan Tentera, YBhg. Jeneral Datuk Hj. Mohd Nizam Bin Hj. Jaffar pada hari ini.

Kunjungan hormat ini antara lain telah membincangkan potensi kerjasama untuk Kampung Angkat MADANI KBS, pembangunan sahsiah dan kekuatan mental  belia serta atlet  negara. Kerjasama ini selari dengan pendekatan whole-of-government.

Turut hadir Mej Jen Dato’ Ts Reizal Arif Tan Sri Ismail, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, YBrs. Dr Zainah Binti Shariff, Timbalan Ketua Pengarah (Belia) Jabatan Belia dan Sukan Malaysia, En. Jeffery bin Yon, Setiausaha Bahagian Dasar dan Strategik, KBS.

#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja

10 April 2025, Selangor - YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan hadir menyempurnakan Pelancaran Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 bertempat di LYL International Karting Circuit, Monkeys Canopy, Selangor.

KBS sentiasa menyokong sepenuhnya usaha pelbagai pihak dalam pembangunan ekosistem sukan negara termasuklah cabang jentera dua roda.

Kejuaraan bagi tahun ini mencakupi 10 pusingan yang akan bermula pada 19-20 April 2025 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor dan berakhir di Bandar Medini Iskandar, Johor pada 22-23 November 2025.

Semoga platform ini memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan agar mereka dapat melebarkan sayap dalam arena sukan permotoran nasional sekaligus mengorak langkah ke peringkat Asia dan antarabangsa.

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI  #MADANIBekerja

9 April 2025, Putrajaya - Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA). 

Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak telah membincangkan potensi kerjasama strategik bagi memperkasakan Belia India di bawah seliaan MITRA dalam landskap pembangunan belia dan sukan negara.

Turut hadir, YBrs. Encik Abdullah Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, dan YBrs. Dr. Mohamed Maliki, Pengarah Pusat Belia Antarabangsa.

#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja

Please publish modules in offcanvas position.