7 Mac 2025, Rembau, Negeri Sembilan - Kursus Pengurusan Kepimpinan Alumni (KPKA) MFLS Negeri Sembilan anjuran Pusat Latihan Kenegaraan Ulu Sepri, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Pusat Latihan Kenegaraan Ulu Sepri.

Kursus ini melibatkan penyertaan golongan belia dalam organisasi tersebut dengan objektif meningkatkan pengetahuan mereka mengenai pengurusan organisasi, konsep kepimpinan, serta aspek berkaitan dalam aktiviti berpersatuan.

Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) Zon Selatan turut dijemput bagi menyampaikan taklimat bertajuk "Pengenalan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Pelan Transisi Umur Belia, dan Simulasi Mesyuarat." Taklimat ini disampaikan oleh Encik Noor Muhammad Asri bin Kamarozzaman, Pegawai Pendaftaran ROY Zon Selatan.

Bagi menguji pemahaman peserta, satu sesi kuiz dalam talian menggunakan platform Kahoot! turut diadakan selepas sesi taklimat. Program seperti ini diharapkan dapat memberikan input dan pengetahuan yang lebih luas kepada para peserta dalam usaha memperkukuh tadbir urus pertubuhan belia, khususnya dalam kalangan Angkatan Belia MFLS cawangan Negeri Sembilan.

 

5 Mac 2025, Putrajaya – Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) hari ini menerima kunjungan hormat daripada barisan kepimpinan baharu Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC). Delegasi yang diketuai oleh Mohamad Naim bin Kasin, selaku Presiden MAYC, hadir bersama lima orang wakil kepimpinan persatuan bagi membincangkan hala tuju dan penambahbaikan tadbir urus pertubuhan tersebut.

Dalam sesi perbincangan yang berlangsung, MAYC Kebangsaan menyatakan hasrat untuk melaksanakan proses pemutihan ke atas cawangan-cawangannya bagi memastikan hanya cawangan yang aktif dan berkualiti dikekalkan dalam struktur organisasi. Langkah ini bertujuan untuk memperkasakan kelab-kelab belia di bawah naungan MAYC agar lebih dinamik dan efektif dalam menjalankan aktiviti serta program pembangunan belia.

Selain itu, MAYC turut merancang untuk menyusun semula gabungan kelab-kelab di bawahnya, di mana mana-mana kelab yang tidak aktif atau tidak menunjukkan komitmen terhadap organisasi akan dikeluarkan daripada gabungan. Inisiatif ini dijangka dapat memperkemaskan pengurusan dan memastikan setiap entiti di bawah MAYC berfungsi dengan lebih baik.

Sebagai langkah susulan, ROY melalui cawangannya akan meneliti serta mengkaji semula perlembagaan MAYC, selaras dengan kepimpinan baharu yang telah mengambil alih pentadbiran organisasi. Langkah ini diambil bagi memastikan setiap pindaan dan pengurusan pertubuhan selaras dengan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).

Turut hadir dalam sesi ini ialah Encik Shamsul Musa, Timbalan Pendaftar, bersama Encik Syed Mashor, Puan Marina Muhamad (Penolong Pendaftar Kanan), dan Puan Nurhamizah binti Kamarun Majif (Penolong Pendaftar).

Kunjungan ini mencerminkan komitmen MAYC dalam memperkukuh tadbir urus pertubuhan serta memastikan penyertaan belia dalam persatuan terus relevan dan berdaya saing seiring dengan perkembangan semasa. ROY menyambut baik usaha ini dan akan terus memberikan sokongan bagi memastikan kelangsungan pertubuhan belia yang lebih berkualiti di Malaysia.

 

24 Februari 2025, Putrajaya – Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bagi membincangkan hal ehwal belia, khususnya berkaitan peralihan mana-mana pertubuhan belia yang berhasrat untuk berdaftar di JPPM selepas kuat kuasa 1 Januari 2026.

Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah JPPM, Dr. Wan Zainul Azam bin Khamid @ Abdul Majid, bersama delegasi ROY. Antara agenda utama yang dibincangkan ialah mekanisme dan ketetapan bagi pertubuhan belia yang ingin beralih pendaftaran ke JPPM serta aspek pematuhan yang perlu dipenuhi.

Dalam sesi tersebut, Pendaftar Pertubuhan Belia menegaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai halangan terhadap mana-mana pertubuhan belia yang ingin berdaftar di JPPM, selagi pertubuhan tersebut tidak menggunakan perkataan "belia" atau istilah seumpamanya dalam nama pertubuhan mereka. Kenyataan ini disambut baik oleh pihak JPPM, yang melihatnya sebagai langkah memperjelas hala tuju pertubuhan yang ingin beralih status pendaftaran.

Turut hadir dalam sesi ini ialah wakil daripada JCI Malaysia, yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan pandangan serta cadangan berhubung proses peralihan pertubuhan belia ke JPPM. Perbincangan yang berlangsung dalam suasana konstruktif ini diharap dapat memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak serta memastikan kelancaran proses peralihan pertubuhan belia mengikut ketetapan yang telah ditetapkan.

15 Mac 2025, Melaka - YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan hadir di Program Rakan Muda Ramadan Negeri Melaka 2025.

Rakan Muda Ramadan merupakan platform pengisian aktiviti belia pada bulan Ramadan yang memfokuskan kepada penyerlahan bakat belia.

Antaranya seperti pertandingan hafazan al-Quran, pertandingan azan, nasyid, bercerita dan aktiviti khatam al-Quran.

YB Timbalan Menteri turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Semoga inisiatif ini menjadi platform terbaik dalam mencungkil dan mengasahkan bakat belia Malaysia.

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI  #MADANIBekerja

14 Mac 2025, Petaling Jaya, Selangor- YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Kecil Dan Perjanjian Pengurusan Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS) Dan Kelab Golf Negara Subang (KGNS).

Perjanjian ini merupakan langkah penting yang memastikan status Padang Golf Subang kekal sebagai kawasan sukan dan rekreasi untuk manfaat semua rakyat.

Selain itu, YB Menteri juga turut menekankan supaya KGNS melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan sokongan berterusan daripada pihak kerajaan.

Pemeteraian perjanjian ini merupakan permulaan era baharu dalam usaha sama antara PPGS dan KGNS untuk membangunkan ekosistem sukan golf yang lebih inklusif dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Hadir sama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI  #MADANIBekerja

Please publish modules in offcanvas position.