7 Disember 2024, Cheras, Kuala Lumpur - Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hadir bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Insentif Program Senamrobik Komuniti Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebanyak RM10,000 diberikan kepada lokasi yang menunjukkan prestasi penyertaan yang memuaskan dan konsisten iaitu PPA Seri
Sabah, Bandar Tun Razak dan PPR Sungai Bunos, Setiawangsa.

Program ini merupakan inisiatif KBS di 43 lokasi dengan hasrat membudayakan sukan dan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat terutamanya di peringkat komuniti, termasuk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA).

Program ini dilaksanakan secara mingguan (hujung minggu) di 43 PPR/ PPA seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula pada bulan Mac hingga Disember 2024 dengan pengisian sebanyak 44 sesi senamrobik secara PERCUMA.

#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI

6 Disember 2024, Putrajaya - YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan menerima kunjungan hormat daripada H.E. Dr. Karomidin Gadoev, Duta Uzbekistan di Malaysia pada 6 Disember 2024. 

Pada pertemuan ini, Uzbekistan mengucapkan penghargaan kepada Malaysia di atas kerjasama erat antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang pembangunan belia dan sukan. 

YB Timbalan Menteri dan TYT Duta Uzbekistan turut membincangkan peluang kerjasama strategik antara Malaysia dan Uzbekistan dalam bidang pembangunan belia dan sukan. Pertemuan pada hari ini dilihat akan meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Turut sama semasa kunjungan hormat tersebut ialah Encik Adrian Leong Tiam Ee, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa.

#TeamKBS #MalaysiaMADANI #KitaSemuaTeamMAS

30 November 2024, Jempol, Negeri Sembilan – Kursus Kepimpinan Belia Madani Peringkat Daerah Jempol Tahun 2024 yang dianjurkan oleh Majlis Belia Daerah Jempol (MBDJ) telah berlangsung dengan jayanya di Kompleks Rakan Muda Jempol, Negeri Sembilan. Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran belia dalam aspek kepimpinan, pengurusan organisasi, serta perkara berkaitan dengan aktiviti berpersatuan.

Program ini melibatkan penyertaan golongan belia daripada badan gabungan MBDJ yang komited dalam memperkasakan kapasiti kepimpinan mereka. Pihak Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) Zon Selatan turut dijemput untuk memberikan taklimat yang amat bermanfaat. Taklimat tersebut, yang disampaikan oleh En. Noor Muhammad Asri bin Kamarozzaman, Pegawai Pendaftar ROY Zon Selatan, merangkumi topik seperti Pengenalan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD), dan sesi Simulasi Mesyuarat.

Melalui program ini, para peserta memperoleh panduan berguna untuk menambah baik tadbir urus pertubuhan belia serta memahami dengan lebih mendalam tanggungjawab mereka sebagai pemimpin persatuan. Inisiatif seperti ini sejajar dengan usaha untuk melahirkan generasi pemimpin belia yang berkualiti dan bersedia memikul tanggungjawab dalam membina negara berteraskan konsep Malaysia MADANI.

Program ini turut diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan belia yang lebih sistematik dan progresif di daerah Jempol. Tahniah kepada Majlis Belia Daerah Jempol atas penganjuran program yang bermanfaat ini!

#YakinBoleh
#MALAYSIAMADANI
#MBDJEMPOL
#ROYzonselatan
#MYKD

2 Disember 2024, Mersing, Johor – Program Jelajah Penerangan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) Edisi Felda Wilayah Johor Bahru telah berlangsung dengan penuh meriah di Telok Gorek Chalet & Campsite. Program ini dianjurkan oleh Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan berjaya menarik penyertaan seramai 103 orang peserta daripada 35 pertubuhan MBFM Wilayah Johor Bahru.

Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) Zon Selatan turut dijemput untuk memberikan perkhidmatan khidmat nasihat berkaitan pengurusan dan tadbir urus yang baik dalam pertubuhan belia. Selain itu, semakan dokumen MYKD yang telah disediakan oleh peserta turut dilakukan, memberikan panduan penting kepada organisasi belia dalam mematuhi keperluan undang-undang dan pengurusan yang telus.

Program ini disertai oleh Penolong Pendaftar Kanan, En. Mohd Firdaus bin Mazlan, bersama En. Noor Muhammad Asri bin Kamarozzaman, Pegawai Pendaftar. Kehadiran mereka memperkukuhkan komitmen ROY dalam menyokong pembangunan kapasiti dan kecekapan organisasi belia, khususnya di bawah naungan MBFM.

Inisiatif ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada perubahan positif dan menggalakkan tatakelola yang lebih berintegriti dalam kalangan pertubuhan belia. Dengan usaha kolaborasi seperti ini, MBFM Wilayah Johor Bahru mampu menjadi contoh teladan dalam pembangunan belia yang progresif dan bertanggungjawab.

19 November 2024, Seremban, Negeri Sembilan – Program Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan. Program ini yang dihadiri seramai 250 orang belia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang isu rasuah serta menggalakkan amalan integriti dalam pelbagai lapangan kehidupan.

Majlis dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan pendaftaran para peserta, diikuti ketibaan tetamu kehormat, Tuan Haji Mohd Nasir bin Ab Hadi, Presiden PAKAR, dan Tuan Awgkok Ahmad Taufik Putra bin Awg Ismail, Pengarah SPRM Negeri Sembilan.

Program ini turut menampilkan forum bertajuk “Isu Tatakelola dan Integriti Dalam Pengurusan Dana NGO” yang dikendalikan oleh Tuan Haji Mohd Nasir bin Ab Hadi sebagai moderator. Forum tersebut mengetengahkan tiga panelis berpengalaman, termasuk Penolong Pendaftar Kanan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Selatan, En. Mohd Firdaus Mazlan. Beliau membincangkan peranan NGO dalam mengamalkan tatakelola yang telus dan berintegriti. Turut hadir sebagai panel ialah PPj. Koo Lik Chi, Ketua Cawangan Penyiasatan dan Tatakelola SPRM Johor, dan Pn. Hajah Nurhayati Dato' Nordin, CEO Yayasan Sinar.

Program ini diakhiri dengan mesej jelas kepada semua yang hadir bahawa "Rasuah Dihina, Maruah Dibina", selaras dengan usaha kolektif untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas daripada rasuah.

Program ini diharapkan dapat memperkasakan belia sebagai agen perubahan dalam membanteras rasuah dan menggalakkan nilai-nilai integriti dalam masyarakat.

Please publish modules in offcanvas position.