22 Julai 2024, Putrajaya - YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan pasukan sepak takraw negara bertempat di Putrajaya.

Skuad sepak takraw Malaysia mencipta sejarahnya apabila berjaya menjulang trofi Juara bagi Double dan Regu di Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung pada bulan Mei yang lepas.

Pertemuan turut disertai oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan membincangkan keperluan mewujudkan stadium sepak takraw negara, status sukan sepak takraw sebagai sukan bukan teras, peluang melanjutkan pelajaran serta kerjaya dan kebajikan atlet sepak takraw.

YAB Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian imbuhan kemenangan sebanyak RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan. 

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI

21 Julai 2024, Putrajaya - Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hadir menyempurnakan Majlis Penutup Pertandingan Lompat Tali Terbuka KBS Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 bertempat di IOI City Mall, Putrajaya.
 
Pertandingan ini merupakan inisiatif KBS dengan kerjasama Persekutuan Lompat Tali Malaysia khusus untuk memperkasakan pembangunan sukan untuk semua terutamanya di peringkat akar umbi.

Sebanyak 186 pasukan merangkumi lebih 1,200 orang peserta dari seluruh negara telah menyertai pertandingan ini yang menawarkan dua kategori iaitu berirama (berkumpulan) dan prestasi tinggi (individu).

YB Menteri juga menyempurnakan penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Lompat Tali Malaysia yang akan menyertai Kejohanan Lompat Tali Asia 2024 di Kawasaki, Jepun bermula 24 hingga 28 Julai 2024.

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI

21 Julai 2024, Ipoh, Perak - Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli hadir ke sesi libat urus Pelan Transisi Kepimpinan Belia bersempena dengan penganjuran program Kembara JOM Peringkat Negeri Perak bertempat di Kolej Poly-Tech MARA Ipoh, Meru Raya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, YB Khairudin Abu Hanipah.

Kembara JOM diadakan bagi membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas dan pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS.

Maklum balas dan pandangan yang diterima ini akan digunakan ke arah memuktamadkan pelan tersebut yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668].

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI

21 Julai 2024, Kuala Kubu Bharu - YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan hadir menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Santuni MADANI - Satu Pemimpin Satu Kampung Kementerian Belia dan Sukan di Kampung Orang Asli Buloh Telor, Kuala Kubu Bharu.

YB Menteri Belia dan Sukan telah memilih Kampung Orang Asli Buloh Telor sebagai Kampung Angkat sepanjang beliau menyandang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. 

Program Santuni MADANI – Satu Pemimpin Satu Kampung inimerupakan satu program khas yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri sebagai usaha meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat menerusi libat urus berterusan dan pemantauan berkala.

Menerusi program ini, keperluan dan isu sosio-ekonomi penduduk di kampung yang dipilih akan dikenalpasti dan mencadangkan kaedah penyelesaian di dalam aspek- aspek pendidikan, kemiskinan, kesihatan, infrastruktur dan sebagainya berlandaskan 
rukun Malaysia MADANI.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tahun ini adalah baik pulih gelanggang pelbagai guna untuk sukan Sepak Takraw dan Badminton dengan anggaran peruntukan
sebanyak RM50,000 hingga RM100,000.

Bagi tahun 2025, KBS merancang untuk membaik pulih padang bola sepak dengan anggaran peruntukan sebanyak RM300,000 hingga RM400,000.

Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat Orang Asli berkaitan kepentingan bersukan dan gaya hidup sihat. Selain itu, kewujudan budaya sukan di kalangan penduduk kampung ini dapat membantu dalam mencungkil bakat, minat dan potensi terutamanya di kalangan golongan belia dalam bidang sukan.

Program Santuni MADANI KBS ini melibatkan Jabatan Belia dan Sukan Negara, Majlis Sukan Negara, JBS Negeri Selangor serta mendapat
sokongan erat dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Hadir sama YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.

#TeamKBS  #KitaSemuaTeamMAS  #MalaysiaMADANI

18 Julai 2024, Kuala Lumpur - Bertempat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah menerima kunjung hormat dari United Nations Development Program (UNDP) yang diketuai Mr. Niloy Banerjee,  selaku Resident Representative UNDP Malaysia, Singapore & Brunei Darussalam dan Dr. Jessie Swee Neo Cheah, Head of UNDP Inclusive Growth & Prosperity (IGP), UNDP Malaysia, Singapore & Brunei Darussalam.

Turut bersama dalam sesi ini ialah YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YBrs. Puan Ramona Mohd Razali, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) dan Dr. Norhasmat Abd. Aziz, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa. Sesi kunjungan ini telah membincangkan mengenai peluang kerjasama yang boleh dilaksanakan antara KBS dan UNDP pada masa hadapan. Turut dibincangkan adalah pelaksanaan program di bawah UNDP yang boleh disertai oleh KBS.

Perbincangan antara KBS dan UNDP ini diharap dapat memperkukuhkan kerjasama strategik kedua-dua pihak bagi memastikan program di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan dengan jayanya.

KBS sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan UNDP dan menyahut baik usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pihak UNDP dalam pembangunan dan pemerkasaan belia di Malaysia dan rantau ASEAN.

 

Please publish modules in offcanvas position.