7 Julai 2024, Pulau Pinang - YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS telah mengadakan siri pemantauan projek pembangunan KBS di Pulau Pinang.

Beliau telah melawat Kompleks Sukan Komuniti (KSK) Pinang Tunggal, Bertam yang melibatkan projek naik taraf sistem elektrik, bumbung, pagar, peralatan sukan dan kerja mengecat. Proses naik taraf ini akan bermula pada hujung tahun 2024 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan.
 
Seterusnya YBhg. Ts. Dr. KSU telah melawat projek baharu Kepala Batas Youth Centre (KBYC) yang menyediakan pelbagai fasiliti sukan lengkap dengan kemudahan asrama. Projek ini dijangka siap pada awal tahun 2025 dan memanfaatkan rakyat khususnya golongan belia di daerah Seberang Prai Utara.
 
YBhg. Ts. Dr. KSU turut membuat pemantauan projek naik taraf dan membangunkan kurikulum kursus baru di IKBN Bukit Mertajam berteraskan keperluan industri dalam teknologi hijau.
 
Diharapkan ketiga-tiga projek pembangunan ini apabila telah siap kelak dapat memperkasakan pembangunan belia dan merakyatkan sukan serta memacu ekosistem TVET selari dengan keperluan masa kini.
 

7 Julai 2024, Pulau Pinang -  YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Robotik (Youth Robot Challenge 2024 - Y-RoboC’24) & Anugerah Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi (Innovation Development Through Educational Activities 2024 - iDEA’24) di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bukit Mertajam.

Program Y-Roboc dan iDEA merupakan platform yang bertujuan memangkin pemikiran kreatif dan inovatif golongan belia melalui penghasilan reka cipta robot dan produk sekaligus mendidik kemahiran menyelesaikan masalah dengan cara yang lebih berkesan.
 
Pada tahun ini, Program Y-Roboc telah menerima penyertaan berjumlah 183 pasukan robotik melibatkan 743 peserta manakala iDEA menerima 536 projek inovasi, melebihi sasaran awal penyertaan.
 
Seiring hasrat Kerajaan menjadikan TVET Pilihan Utama Kerjaya, KBS terus komited menambah baik dan menawarkan platform dan kursus- kursus berkualiti.
 
Hasrat ini seiring perubahan teknologi terkini untuk memastikan golongan belia lebih berdaya saing, relevan dan menepati keperluan industri.
 
Usaha ini sejajar dengan Dasar TVET Negara 2030, Dasar Belia Malaysia (DBM) dan Model Pembangunan Belia Madani2030 (MPBM2030).
 
Hadir sama YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.
 

7 Julai 2024, Kuala Lumpur - YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan hadir di Majlis Penutup Kejohanan Dodgeball Kebangsaan.

Kejohanan yang berlangsung pada 6 & 7 Julai 2024 itu menyaksikan kelab dan persatuan dodgeball dari sebelas buah negeri mengambil bahagian. Dalam majlis yang sama juga turut berlangsung majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad negara yang bakal menyertai Kejohanan Dodgeball Dunia 2024 di Austria, Ogos ini.\
 
YB Menteri juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 menerusi peruntukan menteri kepada Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) bagi terus memupuk minat dan penglibatan sukan berkenaan di peringkat akar umbi untuk melahirkan lebih ramai pelapis negara.\
 

7 Julai 2024, Putrajaya - Seramai 40 orang kontinjen KBS yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Abdullah bin Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS hadir ke Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446 Hijrah/2024 Masihi di Putrajaya.

Pada majlis ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Pemaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah berkenan berangkat mencemar duli diiringi YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri.
 
Bertemakan "Al-Falah Pemacu Malaysia Madani" tema ini merupakan manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat.
 

6 Julai 2023, Perlis - YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan hadir ke sesi libat urus Pelan Transisi Kepimpinan Belia bersempena dengan penganjuran program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) Peringkat Negeri Perlis bertempat di MRSM Arau, Perlis.

Kembara JOM diadakan bagi membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas dan pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS.
 
Maklum balas dan pandangan yang diterima ini akan digunakan ke arah memuktamadkan pelan tersebut yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668].
 
Turut hadir Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.
 

Please publish modules in offcanvas position.