21 Mei 2024, Pahang - Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia telah melaksanakan Kursus Pengurusan Berkesan (KPB) Pertubuhan Belia Peringkat Negeri Perak / Pahang di Agro Teknologi Park MARDI, Cameron Highland.

Kursus ini dihadiri seramai 87 orang peserta yang mewakili Majlis Belia Daerah dan badan gabungan serta kelab belia tunggal yang berada di Negeri Perak/ Pahang. Selain daripada memastikan tadbir urus pertubuhan diurus dengan baik, kursus ini juga dapat memberikan kefahaman kepada para peserta tentang pindaan perlembagaan dan penguatkuasaan Akta 668 (Pindaan 2019) serta pelan transisi umur belia.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Ho Chi Yang ADUN Tanah Rata.Turut hadir bersama ialah Tuan Hasnata Hassan, Pendaftar Pertubuhan Belia dan Encik Shamsul bin Musa, Timbalan Pendaftar Pertubuhan Belia , En fadzil bin Ibrahim Pegawai Belia dan Sukan Daerah Cameron Highland, En. Nur Aiman dari Majlis Belia Negeri Pahang.

16 Mei 2024, Putrajaya - YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ms. Karima El Korri, United Nation (UN) Resident Coordinator di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk membincangkan kerjasama yang bakal dilaksanakan antara KBS dan UN. Melalui perbincangan tersebut, KBS mendapat taklimat khusus mengenai perancangan UN untuk melaksanakan Summit of the Future yang akan diadakan pada September 2024. Fokus utama KBS dalam Summit of the Future adalah terlibat secara aktif khususnya melalui Chapter 4 : Youth and Future Generations. KBS juga akan menyediakan perancangan bagi memastikan pengisian persidangan berkenaan berjalan lancar dengan penglibatan KBS khususnya belia Malaysia.

Kunjungan hormat ini secara langsung telah meningkatkan hubungan baik KBS dan UN. Turut hadir bersama ialah Puan Ramona binti Razali, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Dr. Norhasmat bin Abd Aziz, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Dr. Hj. Mohamed Maliki Bin Mohamed Rapiee, Pengarah, Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur.

18 Mei 2024, Kangar, Perlis - DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 bertempat di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, hari ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli dan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.
 
Seterusnya, DYMM Pemangku Raja Perlis turut berkenan untuk menyempurnakan penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024.
 
APBN yang diperkenalkan sejak tahun 1988 ini mempertandingkan tiga (3) kategori utama di peringkat negeri Perlis iaitu Individu Lelaki, Individu Wanita dan Pertubuhan Belia iaitu:
 
📌 Kategori Pertubuhan Belia
🏆 Persatuan Belia Masjid Negeri Perlis
 
📌 Kategori Individu Lelaki
🏆 Saudara Abdul Khalim Al Azizi Syahril
 
📌 Kategori Individu Wanita
🏆 Saudari Nur Khairina Irwani Khairi
 
Mengangkat tema “Yakin Boleh”, penganjuran program dan aktiviti berfokuskan 10 Gaya Hidup Rakan Muda bermula 18 hingga 19 Mei antaranya program Rakan Bumi: Lestari Hijau, Forum Keusahawanan Belia, Persembahan Muzik dan Kebudayaan, Kayuhan MAIPs Peduli dan pameran agensi Kerajaan, swasta dan NGO serta banyak lagi.
 

17 Mei 2024, Kangar, Perlis - YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan menyempurnakan Majlis Penyerahan Trek Motorcross Sungai Batu Pahat, Kangar Perlis.

Dengan adanya trek ini pastinya akan dapat memberi peluang untuk kita mencungkil bakat baharu dalam bidang motorcross selain menggalakkan pelancong datang ke Negeri Perlis.
 
KBS sentiasa menyokong usaha dalam memperkasakan belia di Malaysia khasnya menerusi Gaya Hidup Rakan Muda iaitu Rakan Litar - platform yang memfokuskan aktiviti sukan bermotor & beroda serta menyokong aktiviti sihat, bina daya saing & tahap kompetitif.
 

17 Mei 2024, Kangar, Perlis - Lawatan kerja YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan ke Stadium Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis.

Projek naik taraf Stadium Tuanku Syed Putra melibatkan kerja-kerja baik pulih bilik serbaguna, penggantian bumbung baru, penggantian tempat duduk astaka, pembaikan balapan dan naik taraf sistem bunyi.
 
Projek baik pulih Stadium Tuanku Syed Putra kini dalam fasa akhir dan ia akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan khususnya terhadap sukan olahraga. Diharapkan selepas trek
balapan stadium ini dibaik pulih ia akan menggalakkan lebih ramai atlet olahraga negeri Perlis untuk menggunakan trek ini.
 

Please publish modules in offcanvas position.