12 Mac 2026, Puchong, Selangor - YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan melancarkan Dana E-Sukan KBS (DEK) 2026 dan Malaysia E-sports Accelerator Program (MEAP) 2026 bagi memperkasa ekosistem e-sukan negara.

DEK 2026 memperuntukkan RM1 juta bagi menyokong penganjuran kejohanan e-sukan dan pembangunan kandungan digital, dengan pembiayaan sehingga RM20,000 bagi setiap projek. Inisiatif ini menyasarkan penyertaan 9,000 peserta serta 2.5 juta tontonan digital.

MEAP 2026 pula diteruskan dengan peruntukan RM500,000 untuk membantu pasukan dan pemain tempatan membuat persiapan rapi bagi bersaing di peringkat antarabangsa.

Kerajaan komited memperkukuh pembangunan e-sukan negara, dari akar umbi hingga ke pentas dunia. 🎮🇲🇾

Turut hadir, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha KBS.

#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja #RancakkanMADANI

10 Mac 2026, Putrajaya - YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan hadir di Perhimpunan Mesra Bulanan KBS bagi bulan Mac 2026.

Dalam amanatnya, YB Menteri menyeru seluruh warga KBS menjadikan bulan Ramadan sebagai madrasah dalam membentuk disiplin diri serta terus kekal komited menjayakan setiap inisiatif dan dasar kementerian.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran dan pelantikan YBhg. Dato’ Rahimi bin Ismail sebagai Ketua Setiausaha KBS yang baharu, menggantikan YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu yang telah bertukar keluar.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Khas Pekerja Terbaik (AKPT) KBS Bilangan 4/2025 serta sesi Tazkirah Ilmu bertajuk “Ramadan Mendidik, Syawal Menguji – Bijak Berbelanja, Elak Berhutang” yang telah disampaikan oleh Ustaz Haji Mohd Meeftah Haji Anuar.

#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja #RancakkanMADANI

10 Mac 2026, Putrajaya - YB Dr. Mohammed Taufik Johari, Menteri Belia dan Sukan mengumumkan pelaksanaan Program Felo Perdana 2026.

Program ini mensasarkan penyertaan seramai 63 orang peserta menerusi pendekatan mentor-mentee, dengan penempatan di 31 Kementerian atau Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) selama empat bulan.

Pendekatan ini direka untuk memastikan bimbingan dan pementoran dilaksanakan secara tersusun dan berimpak tinggi, selaras aspirasi Kerajaan untuk membangunkan kapasiti belia sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan.

Objektif Program Felo Perdana merangkumi lima fokus utama: potensi kepimpinan; tadbir urus kerajaan; polisi dan dasar pentadbiran; platform belia dalam perancangan dan penggubalan dasar; serta membina rangkaian pemimpin belia.

Permohonan terbuka kepada belia berumur 18 hingga bawah 30 tahun mulai 10 Mac hingga 24 April 2026 melalui pautan rasmi KBS: http://myfelo.kbs.gov.my.
Turut hadir YBhg. Dato’ Rahimi bin Ismail, Ketua Setiausaha KBS.

#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #RancakkanMADANI #MADANIBekerja

9 Mac 2026, Putrajaya - Seluruh warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan mengucapkan selamat datang kepada YBhg. Dato’ Rahimi bin Ismail yang memulakan tugas secara rasmi pada hari ini sebagai Ketua Setiausaha KBS yang baharu.

Pelantikan ini mencerminkan kesinambungan kepimpinan dalam menerajui Kementerian bagi memperkukuh tadbir urus, mempertingkat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta meneruskan agenda pembangunan belia dan sukan secara mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Seluruh warga KBS komited untuk terus memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada kepimpinan YBhg. Dato’ dalam usaha memperkasa perkhidmatan kementerian.

YBhg. Dato’ turut bersama warga KBS menyertai Perhimpunan YAB Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berlangsung di Dewan Serbaguna KPDN. Perhimpunan tersebut turut disertai oleh warga KBS secara hibrid melalui sesi dalam talian.

#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #RancakkanMADANI #MADANIBekerja

6 Mac 2026, Putrajaya - YBrs. Puan Chan Hong Jin, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, telah menerima kunjungan hormat daripada Presiden World Bowls, Tuan Brett O’Riley, bersama delegasi Bowls Malaysia di Menara KBS, Putrajaya.

Antara perkara yang dibincangkan ialah pembangunan Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence – CoE) bagi sukan boling padang di Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan cemerlang yang telah dilakar negara dalam sukan ini di peringkat antarabangsa, termasuk kejohanan di peringkat Asia, Komanwel dan Kejohanan Dunia.
Selain itu, Bowls Malaysia turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat KBS melalui Perbadanan Stadium Negara yang menyediakan fasiliti terbaik bagi pembangunan serta penganjuran sukan ini.

Turut dibincangkan ialah usaha di peringkat global untuk memasukkan sukan boling padang sebagai acara yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik 2032 di Brisbane, Australia.
KBS menyokong usaha tersebut dan berharap ia dapat membuka lebih banyak peluang kepada Malaysia untuk meraih kejayaan serta pingat di pentas sukan berprestij dunia.

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Awalan Abdul Aziz, Presiden Bowls Malaysia; YBhg. Dato’ Zanzali Mohamad, Setiausaha Agung Bowls Malaysia; En. Yussri Mohd Zain, Pegawai Khas Presiden Bowls Malaysia; En. Daeng Dhadyry Dahasry, Pegawai Media Bowls Malaysia; serta pegawai kanan KBS.

#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja #RancakkanMADANI

Please publish modules in offcanvas position.