BERITA KBS
Seminar Wanita Dalam Sukan 2026 & Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan (PTWDS) 2026–2030
10 Jun 2026, Bukit Jalil - YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan, telah merasmikan Seminar Wanita Dalam Sukan 2026 serta melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan (PTWDS) 2026–2030 yang berlangsung di Dewan Banquet, Casa 4, Majlis Sukan Negara.
Seminar selama dua hari ini menghimpunkan hampir 200 peserta yang terdiri daripada atlet, jurulatih, pentadbir persatuan sukan, ahli akademik, wakil badan bukan kerajaan, sektor korporat serta penggiat industri bagi membincangkan usaha memperkukuh penyertaan, kepimpinan dan pembangunan wanita dalam ekosistem sukan negara.
Bersempena program ini, PTWDS 2026–2030 turut dilancarkan sebagai dokumen hala tuju strategik yang menggariskan lima teras utama dan 30 program pelaksanaan bagi memperkasakan wanita dalam sukan.
Pelan ini memberi tumpuan kepada pengukuhan dasar dan tadbir urus, peningkatan profesionalisme, pemerkasaan penyertaan dan kepimpinan, pengukuhan penyelidikan berasaskan data serta peluasan promosi dan advokasi secara menyeluruh.
PTWDS 2026–2030 mencerminkan komitmen KBS dalam membentuk landskap sukan yang lebih inklusif, selamat dan progresif, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk cemerlang sebagai atlet, jurulatih, pentadbir dan pemimpin sukan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail.
