Berita KBS

BERITA KBS

Hari Belia Negara dan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2026

14 Jun 2026, Pulau Pinang - Pulau Pinang menjadi saksi semangat luar biasa anak muda yang berhimpun sempena Hari Belia Negara dan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 di UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh.  

Dengan tema "Menggerak Belia MADANI", majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari diiringi oleh EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, YB Daniel Gooi dan Ketua Pengarah JBSN, Puan Azura Abidin.  

Sambutan ini bukan sekadar meraikan belia - malah menjadi platform memperkasa bakat, potensi dan kepimpinan generasi muda menerusi pelbagai aktiviti menarik seperti sukan dan rekreasi, e-sukan, bengkel literasi kewangan, pameran interaktif, jualan usahawan belia serta persembahan kebudayaan dan kesenian.  

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Selain itu, KBS menerusi JBSN turut menyalurkan bantuan dan dana strategik berjumlah RM1.406 juta bagi memperkukuh pembangunan belia dan sukan di Pulau Pinang sepanjang tahun 2026.  

Inilah bukti komitmen berterusan KBS dalam menyediakan lebih banyak peluang, ruang dan sokongan kepada belia untuk terus maju, aktif dan menjadi pemangkin pembangunan negara

Kongsi: f 𝕏