
Kunjungan Hormat Kepimpinan Baharu Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC)
- ukk
5 Mac 2025, Putrajaya – Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) hari ini menerima kunjungan hormat daripada barisan kepimpinan baharu Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC). Delegasi yang diketuai oleh Mohamad Naim bin Kasin, selaku Presiden MAYC, hadir bersama lima orang wakil kepimpinan persatuan bagi membincangkan hala tuju dan penambahbaikan tadbir urus pertubuhan tersebut.
Dalam sesi perbincangan yang berlangsung, MAYC Kebangsaan menyatakan hasrat untuk melaksanakan proses pemutihan ke atas cawangan-cawangannya bagi memastikan hanya cawangan yang aktif dan berkualiti dikekalkan dalam struktur organisasi. Langkah ini bertujuan untuk memperkasakan kelab-kelab belia di bawah naungan MAYC agar lebih dinamik dan efektif dalam menjalankan aktiviti serta program pembangunan belia.
Selain itu, MAYC turut merancang untuk menyusun semula gabungan kelab-kelab di bawahnya, di mana mana-mana kelab yang tidak aktif atau tidak menunjukkan komitmen terhadap organisasi akan dikeluarkan daripada gabungan. Inisiatif ini dijangka dapat memperkemaskan pengurusan dan memastikan setiap entiti di bawah MAYC berfungsi dengan lebih baik.
Sebagai langkah susulan, ROY melalui cawangannya akan meneliti serta mengkaji semula perlembagaan MAYC, selaras dengan kepimpinan baharu yang telah mengambil alih pentadbiran organisasi. Langkah ini diambil bagi memastikan setiap pindaan dan pengurusan pertubuhan selaras dengan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).
Turut hadir dalam sesi ini ialah Encik Shamsul Musa, Timbalan Pendaftar, bersama Encik Syed Mashor, Puan Marina Muhamad (Penolong Pendaftar Kanan), dan Puan Nurhamizah binti Kamarun Majif (Penolong Pendaftar).
Kunjungan ini mencerminkan komitmen MAYC dalam memperkukuh tadbir urus pertubuhan serta memastikan penyertaan belia dalam persatuan terus relevan dan berdaya saing seiring dengan perkembangan semasa. ROY menyambut baik usaha ini dan akan terus memberikan sokongan bagi memastikan kelangsungan pertubuhan belia yang lebih berkualiti di Malaysia.