Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat Belia (RTD): Menoktahkan Budaya Buli, Membina Generasi Prihatin
- ukk
16 Oktober 2025, Putrajaya - YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat Belia (RTD): Menoktahkan Budaya Buli, Membina Generasi Prihatin bertempat di Menara KBS, Putrajaya.
Persidangan ini menghimpunkan seramai 200 peserta yang terdiri daripada pakar bidang, ahli akademik, pegawai kanan kementerian dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta wakil belia dari seluruh negara.
Program RTD memberi tumpuan kepada perbincangan holistik bagi menangani isu buli secara menyeluruh melalui sesi interaktif bersama YB Menteri dan forum bertajuk “Menoktahkan Buli: Strategi Pencegahan dan Intervensi” yang melibatkan tiga orang pakar dari Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.
Sesi ini menerima maklum balas aktif daripada peserta, yang telah mengenal pasti pelbagai faktor pendorong kepada budaya buli serta mencadangkan langkah-langkah pencegahan yang praktikal dan berimpak. Hasil perbincangan akan dimanfaatkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dalam penggubalan Resolusi Memperkukuhkan Langkah Pencegahan Buli secara bersepadu.
KBS menegaskan bahawa usaha membanteras budaya buli tidak boleh bergantung kepada perundangan dan tindakan tatatertib semata-mata, tetapi harus diperkukuhkan dengan pendidikan nilai, kempen kesedaran, dan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat.
Melalui pendekatan bersepadu (whole-of-government approach), KBS komited bekerjasama erat dengan institusi pendidikan, agensi kerajaan, NGO serta komuniti bagi memastikan mesej anti-buli disebarluaskan secara menyeluruh.
KBS melalui IYRES dan JBSN akan terus menyediakan platform yang selamat, inklusif dan terbuka kepada belia untuk menyuarakan pandangan serta menyumbang secara aktif kepada pembangunan masyarakat.
#TeamKBS #MalaysiaMADANI #KitaSemuaTeamMAS #MADANIBekerja #RancakkanMADANI
