
LAWATAN KERJA KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN MALAYSIA KE IKBN KUALA LANGAT, BANTING SELANGOR
- ukk
16 Januari 2025, Banting, Selangor - Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat telah menerima lawatan kerja daripada YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Kehadiran YBhg. Dato’ Ketua Setiausaha disambut dengan demonstrasi permainan Drone Soccer daripada pelajar yang telah memenangi banyak pertandingan Drone sepanjang tahun 2024.
YBhg. Dato’ Ketua Setiausaha berkesempatan menandatangani buku kehadiran pelawat sebagai simbolik kehadiran beliau ke IKBN Kuala Langat. Sejurus itu, YBhg. Dato’ Ketua Setiausaha diberi peluang untuk melihat lokasi tapak projek pembangunan bagi bangunan Terapi Sukan yang sedang dibangunkan.
Selepas itu, YBhg. Dato’ Ketua Setiausaha ke bilik mesyuarat utama IKBN Kuala Langat untuk mendengar taklimat ringkas berkaitan dengan pengenalan IKBN Kuala Langat dan taklimat projek-projek pembangunan yang telah dijalankan di IKBN Kuala Langat sepanjang tahun 2024 dan juga perancangan projek yang dimohon untuk RMKe-13.
Hadir sama dalam lawatan kerja ini ialah YBrs. Encik Abdullah bin Hasan (TKSU) (P), YBrs. Puan Ramona Mohd Razali (TKSU) (S), En. Amir Hamzah bin Awang Ghazali (SUB Pembangunan), Puan Dalila binti Sharingat (Pengarah Kemahiran BPKB), Puan Zakiah binti Mat Jali (Timbalan Pengarah Kemahiran BPKB), Puan Siti Hasmah binti Mustapha (Ketua Cawangan Teknikal dan Kualiti Latihan), En. Lim Chow Kiat (Pengarah AKBG), En. Azli bin Mohamed (Ketua Unit Perancangan dan Prestasi), Ts. Dr. Loke Kok Foong (Penolong Pengarah Kanan PPP1), Puan Nur Alyani binti Zohari (PSU BPN) serta wakil-wakil pegawai Bahagian Pembangunan dari Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), KBS.
Semasa mesyuarat bersama YBhg. Dato’ Ketua Setiausaha, antara perkara yang dibincangkan termasuk pengoperasian. YBhg. Dato’ Ketua Setiausaha juga telah menyampaikan amanat kepada warga IKBN Kuala Langat dengan menekankan beberapa elemen utama sebagai panduan dalam mencapai kecemerlangan institusi serta mendukung pembangunan belia.
Antara amanat beliau adalah mewujudkan suasana keseronokan bekerja di tempat kerja untuk meningkatkan kepuasan serta motivasi pekerja, sentiasa melaksanakan tindakan dengan betul mengikut prosedur yang telah ada “do the right thing right”, memfokuskan kepada melakukan perkara yang kecil dengan baik supaya mencapai kualiti kecemerlangan yang lebih tinggi, menjaga kelestarian alam melalui pengurangan cetakan kertas dan pengurangan penggunaan plastik serta menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan pekerja dan pelajar.
YBhg. Dato’ Ketua Setiausaha berpeluang melawat bengkel dan studio pembelajaran di IKBN Kuala Langat termasuk Bengkel Teknologi Hiasan Dalaman, Galeri Perabot, Kelas Program Autism Ausome MERCH, Studio TV Teknologi Multimedia, Studio Teknologi Fotografi, Bengkel Terapi Sukan dan Bengkel Teknologi Motorsport.
Sesungguhnya lawatan YBhg. Dato’ KSU yang pertama kali ke IKBN Kuala Langat ini sangat signifikan sebagai membuka tirai tahun baru 2025.