Majlis Perasmian Kem Belia @ Rakan Prihatin Tahun 2025
- ukk
3 Julai 2025, Kelantan - YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Kem Belia @ Rakan Prihatin Tahun 2025 yang berlangsung di Pantai Cahaya Bulan Resort, Kota Bharu, Kelantan.
Kem Belia @ Rakan Prihatin 2025 akan dilaksanakan di 115 lokasi di seluruh negara dan menyasarkan penyertaan seramai 5,750 orang belia berumur antara 13 hingga 16 tahun.
Pelaksanaan Kem Belia merupakan salah satu inisiatif intervensi sosial KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bagi memperkasa potensi, identiti dan jati diri golongan belia, serta mengurangkan keterlibatan mereka dalam gejala sosial.
Sebanyak 11 topik utama telah dibangunkan bagi pelaksanaan Kem Belia @ Rakan Prihatin Tahun 2025 hasil kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS-UPM) & Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM).
Pembangunan modul ini bertujuan memastikan kandungan pelaksanaan kem lebih sistematik, inklusif dan seimbang merangkumi aktiviti dalam dan luar.
Kem ini turut mendukung fokus KBS tahun ini yang memberi penekanan kepada kesejahteraan belia dan pembangunan nilai sosial serta seiring dengan nilai Kesejahteraan dan Hormat di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Hadir sama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.
#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja #RancakkanMADANI
