Majlis penutupan Sesi Libat Urus Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan 2025
- ukk
30 November 2025, Putrajaya - Majlis penutupan Sesi Libat Urus Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan 2025 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.
Program anjuran KBS melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) bertujuan memperkukuh kefahaman serta kesiapsiagaan pertubuhan belia menjelang pelaksanaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668] yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Sebagai kemuncak kepada 14 siri libat urus di seluruh negara, sesi ini menjadi platform dialog yang konstruktif, perkongsian maklumat komprehensif serta penerangan terperinci mengenai pelaksanaan transisi umur kepimpinan belia. Seramai 600 pemimpin dan ahli pertubuhan belia telah terlibat dalam siri-siri libat urus tersebut.
Pindaan akta ini bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi peralihan generasi yang signifikan. Ia membuka peluang lebih luas kepada pemimpin muda berusia bawah 30 tahun untuk menerajui pertubuhan belia dan memainkan peranan yang lebih besar dalam ekosistem kepimpinan negara.
Sehingga 30 November 2025, sebanyak 979 pertubuhan belia telah berjaya meminda perlembagaan masing-masing. Data ROY turut merekodkan 53,307 pemimpin dan 546,651 ahli belia bawah 30 tahun yang kini aktif dalam pertubuhan, mencerminkan kesediaan golongan muda untuk memimpin.
#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja #RancakkanMADANI
