Perjumpaan Qabil Irfan bersama YB Menteri Belia dan Sukan
- ukk
Bukit Jalil, 8 Januari 2024 - KBS dan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang komited bantu penempatan baru Qabil Irfan untuk latihan dan bimbingan yang lebih komprehensif.
Pada tahun 2024, Qabil Irfan Azlan akan diserap masuk sebagai atlet sepenuh masa dalam Program Pembangunan Sukan Permotoran yang dikelolakan oleh Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang dan bakal bertanding dalam kejohanan FIM Mini GP Malaysia Series 190cc dan Moto4 di kejohanan ESBK di Sepanyol. Beliau akan menjalani sesi latihan bersama-sama lima (5) atlet lain yang akan berlumba dalam kejohanan di peringkat asia dan antarabangsa. Sebagai usaha bagi memudahkan dalam pengurusan latihan yang berkala yang harus dijalani oleh beliau di bawah bimbingan En Zulfahmi Khairuddin, Qabil Irfan akan mula menetap dan bersekolah di negeri Selangor. Keluarga Qabil Irfan akan turut berpindah untuk memberi sokongan penuh terhadap pembangunan karier sebagai seorang pelumba motosikal.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama pihak Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang akan membantu penempatan baru Qabil Irfan dan keluarganya di Selangor dengan menguruskan pemindahan sekolah untuk adik-beradik dan mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian buat ayah Qabil Irfan. Pemindahan Qabil Irfan ke Selangor bertujuan untuk memastikan beliau menerima pendedahan, bimbingan dan latihan yang komprehensif dengan menggunakan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang dan fasiliti sekitarnya sebagai pusat latihan.
