Majlis Pra Pelancaran Hari Belia Negara (HBN)
- ukk
9 Mei 2024, Melaka - Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim hadir menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Hari Belia Negara (HBN) bertempat di Menara Taming Sari, Melaka.
Bersempena Hari Belia Negara (HBN) yang disambut setiap tahun pada 15 Mei, KBS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Belia Malaysia (MBM) akan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 bertempat di Dataran Pahlawan, Banda Hilir bermula 24 hingga 26 Mei 2024.
Perasmian dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.
Majlis yang bakal berlangsung pada 25 Mei 2024 ini turut diisi dengan Majlis Penyampaian APBN Peringkat Kebangsaan.
Mengangkat tema “Yakin Boleh”, penganjuran program dan aktiviti berfokuskan 10 Gaya Hidup Rakan Muda dengan 60 buah pengisian antaranya Malam Solidariti Palestin, Larian Yakin Boleh Belia Malaysia 2024, Himpunan Komuniti Belia, perkhemahan belia, Pavilion Seni Budaya Negeri-negeri, karnival kerjaya, jualan dan pameran agensi kerajaan, swasta dan NGO serta banyak lagi.
Lebih menarik, sambutan juga turut diserikan dengan penganjuran Kembara RIUH @ HBN 2024 yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi menerusi penyelarasan oleh MyCreative Ventures Sdn. Bhd.
Membuka tirai sambutan HBN, KBS menerusi JBSN juga akan menganjurkan Program Semarak HBN @ KBS 2024 pada 15 Mei 2024 bertempat di Podium A, Menara KBS, Putrajaya dengan pelbagai pengisian iaitu Bacaan Ikrar Belia Malaysia, Konvensyen Belia Integriti Nasional dan aktiviti Gaya Hidup Rakan Muda.
#TeamKBS #DemiMalaysia #MalaysiaMADANI
